Banjir: Mangsa di Terengganu berkurang, meningkat sedikit di Kelantan pagi ini

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Terengganu beransur pulih dengan jumlah penduduk ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan setakat pagi ini, namun di Kelantan mencatatkan sedikit peningkatan.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan berkurang kepada 486 orang pagi ini berbanding 638 orang malam tadi.

Iklan
Iklan

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan, 273 mangsa ditempatkan di dua PPS di Kuala Terengganu, manakala 62 orang berlindung di tiga PPS di Kuala Nerus.

Selain itu, 124 mangsa berada di tiga PPS di Marang dan 27 orang ditempatkan di sebuah PPS di Besut.

Iklan

Bagaimanapun, paras air sungai di beberapa stesen utama di negeri ini kembali meningkat dengan Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Setiu di Kampung Besut dalam daerah Setiu berada pada tahap waspada, masing-masing mencecah 11.34 meter (m) dan 16.51m setakat 9.30 pagi ini, manakala Sungai Jalok di Jambatan Chalok mencapai tahap amaran pada 8.25m.

Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman turut berada pada tahap waspada dengan masing-masing mencecah 3.54m dan 1.75m.

Iklan

Di KELANTAN, berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 63 mangsa masih berlindung di dua PPS melibatkan 30 orang di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja di jajahan Pasir Puteh dan di SK Tok Deh, jajahan Pasir Mas meningkat kepada 33 orang berbanding 31 orang malam tadi. - Bernama