GEORGETOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan memanggil Pengerusi Masjid Jalan York berhubung notis waktu operasi masjid tersebut yang dihadkan antara jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam sahaja.
Pengarahnya, Zulkifli Long berkata, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama JHEAIPP untuk berhubung dengan pengerusi masjid tersebut bagi mengadakan sesi perjumpaan secepat mungkin.
Menurutnya, pihaknya turut tidak bersetuju dengan notis tersebut kerana masjid merupakan tempat ibadat orang Islam yang perlu dibuka setiap masa.
"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memanggil pengerusi masjid bagi mendapatkan alasan mengapa notis had operasi masjid seperti itu dikeluarkan. Kita akan mengadakan perjumpaan secepat mungkin kerana mengikut notis itu, ia akan berkuatkuasa pada 31 Disember ini.
"Jadi ada masa lagi untuk kita bincang. Pendirian JHEAIPP, mengehadkan waktu operasi masjid tidak sepatutnya berlaku kerana fungsi masjid adalah untuk ibadat. Ia sepatutnya dibuka setiap masa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Beliau berkata, pihaknya tidak pasti alasan jawatankuasa masjid tersebut sehingga mengeluarkan notis mengehadkan waktu operasi masjid.
"Memo ini tidak sesuai namun saya tidak pasti apa alasan pengerusi dan jawatankuasa masjid berbuat demikian. Jika benar untuk keselamatan sekali pun, masjid perlu dibuka untuk orang bersolat.
"Bagaimanapun, kita masih ada masa untuk mengetahui perkara sebenar sebelum pelaksanaan mengehad waktu operasi ini. Saya pun baru dimaklumkan mengenai notis ini dan terus mengarahkan pegawai untuk memanggil mereka yang terlibat untuk perbincangan," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, semua masjid perlu dibuka untuk solat fardu.
Menurutnya, setiap peraturan baharu yang hendak dilaksanakan di masjid perlu mendapat persetujuan daripada JHEAIPP dan MAINPP.
"Peraturan kita, semua masjid mesti dibuka untuk solat wajib sekurang-kurangnya lima waktu. Setiap peraturan baru yang nak dibuat di masjid, perlu mendapatkan persetujuan daripada MAINPP dan JHEAIPP.
"Tak boleh sewenang-wenangnya keluarkan arahan atau peraturan baru. Sehubungan itu, pegawai agama daerah Timur Laut sedang berurusan untuk memanggil jawatankuasa masjid termasuk pengerusi untuk mengetahui perkara sebenar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk menghubungi Pengerusi Masjid Jalan York gagal apabila panggilan tidak dijawab.
Terdahulu, tular satu notis waktu operasi masjid tersebut yang dihadkan bermula jam 9.30 pagi hingga 9.30 malam sahaja setiap hari.
Sehubungan itu, umat Islam yang ingin menunaikan solat Subuh dan Isyak (selepas jam 9.30 malam) disarankan ke Masjid Jamek Shaik Eusoff di Datuk Keramat untuk tujuan tersebut.
Notis yang bertarikh 24 Disember itu akan berkuatkuasa pada 31 Disember ini.