APM urus 3,500 kit makanan hadapi banjir

Iklan
Anggota APM memberitahu cara penyediaan makanan kepada mangsa banjir di SK Tok Deh, Rantau Panjang. Gambar kecil: Adzhar

KOTA BHARU - Sebanyak 3,500 kit makanan (KM) yang diuruskan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagai persediaan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Pengarah APM negeri Kelantan, Leftenan Kolonel (PA), Mohd Adzhar Mujab berkata, kit yang diusahakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu diagihkan kepada mangsa yang tidak mempunyai bekalan makanan dan sangat memerlukan.

Iklan
Iklan

Dalam pada itu, Mohd Adzhar memberitahu, seramai 90 hingga 100 anggota ditempatkan di setiap daerah bagi penugasan banjir bersama agensi terlibat bencana itu.

Jelas beliau, seramai 970 anggota dan pegawai APM perlu menghadiri latihan Persediaan Monsun Timur Laut bagi menggalakkan mereka lebih bersedia dalam keadaan mencabar ketika membantu mangsa banjir.

Iklan

"Sehingga kini kita masih meneruskan latihan yang diadakan setiap Jumaat dan Sabtu membabitkan 30 anggota dari setiap daerah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan berpotensi banjir sentiasa peka dengan cuaca semasa termasuk memantau media sosial jabatan jabatan yang memberi maklumat sah.

Iklan

Ketika ini katanya, perkongsian maklumat bersama komuniti perlu agar mereka mengetahui situasi semasa.

"Wujudkan komuniti yang berdaya tahan dan saling membantu,"ujarnya.

Antara agensi yang terlibat dengan pengurusan bencana termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, semua Pejabat Tanah dan Jajahan, polis, bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Mohd Adzhar menjelaskan, pemantauan APM dan kemas kini jam 8.50 pagi Sabtu mendapati paras air di Sungai Lanchang Rantau Panjang mencecah 8.62 meter dan menunjukkan tren menaik dengan jumlah mangsa banjir 61 orang membabitkan 17 keluarga.

"Seramai 30 mangsa membabitkan tujuh keluarga kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, Pasir Puteh manakala 31 mangsa membabitkan sepuluh keluarga di SK Tok Deh, Rantau Panjang," katanya.