KUALA LUMPUR - Pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan tidak meneruskan perjalanan sekiranya berdepan dengan cuaca buruk atau hujan lebat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, penunggang motosikal digalakkan berhenti berteduh di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau stesen minyak berdekatan sekiranya berhadapan dua situasi tersebut.
Beliau berkata, kumpulan motosikal dinasihatkan untuk tidak berhenti di bahu jalan atau di bawah jambatan dengan tujuan berteduh semasa hujan.
Ini kerana katanya, tindakan seumpama itu sangat bahaya, sebaliknya berusaha mencari dan memilih tempat yang jauh lebih selamat.
"Malah menurut Kaedah 53 dalam Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959), tiada sebarang kenderaan boleh dipandu, ditunda, ditolak, diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong tambahan atau bahu jalan di sebelah kiri jalan yang ditentukan sebagai lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan yang bersifat sementara.
"Untuk itu, JSPT menggesa agar semua pengguna jalan raya untuk lebih peka dan prihatin kepada penunggang motosikal, selain bertindak secara lebih berhati-hati semasa memandu kenderaan semasa hujan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Azman berkata, bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku ketika hujan, penunggang motosikal dinasihatkan membawa baju hujan bagi melindungi diri daripada cuaca tidak menentu pada masa ini.
Jelasnya, penggunaan baju hujan yang mempunyai 'reflektor' cahaya lebih digalakkan agar mudah dilihat pengguna jalan raya lain.
Tambahnya, bagi mereka yang perlu berhenti di bawah jambatan, pastikan memilih tempat yang lebih selamat seperti berdiri di bahagian penghadang jalan untuk keselamatan diri.
Selain itu, menurutnya, penunggang motosikal juga perlu mengelak untuk duduk di atas motosikal yang diletakkan hampir dengan jalan utama kerana ia terdedah kepada risiko kemalangan serta kecederaan.
"Penunggang motosikal juga dinasihatkan untuk memastikan lampu sentiasa berfungsi bagi membolehkan pengguna jalan raya lain melihat kemunculan anda.
"Selain itu, penggunaan lampu isyarat juga penting untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain memperlahankan kenderaan dan memberi laluan," ujarnya.