Pelantikan Petros Niaga pengedar tunggal LPG langkah monopoli - DPMM Kedah

Iklan
Mohd Zayad. Petros akan dilantik sebagai pengedar tunggal LPG berkuat kuasa 1 Disember 2023.

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah menyifatkan pelantikan Petros Niaga sebagai pengedar tunggal gas petroleum cecair (LPG) di Sarawak berkuat kuasa 1 Disember 2023 adalah langkah monopoli.

Yang Dipertua DPMM Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, langkah terbaharu kerajaan Sarawak melalui pengumuman Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi beberapa hari lepas itu agak mendukacitakan.

Iklan
Iklan

Mohd Zayad memberitahu, DPMM Kedah memiliki pendirian sama dengan kerajaan bahawa amalan monopoli di negara ini tidak boleh diteruskan memandangkan ia tidak mendatangkan keuntungan kepada rakyat.

"Pakar-pakar ekonomi turut memberi pendapat sama, iaitu memecahkan belenggu monopoli mampu membuka ruang pemain industri bersaing dan meningkatkan kecekapan, selain ada berpendapat ia menambah bilangan jutawan dalam kalangan Melayu dan Bumiputera," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, langkah kerajaan Sarawak dirasakan bertentangan dengan apa yang sering ditegas dan diulang Perdana Menteri yang mana sistem monopoli sudah pasti bersifat regresif dan tidak sehaluan dengan konsep Malaysia Madani.

Mohd Zayad berpandangan, realiti ekonomi pasaran hari ini memerlukan persaingan untuk menambah daya saing ekonomi yang sudah tentu amalan monopoli perlu dikurangkan dan bukannya ditambah.

Iklan

Selain itu, kata beliau, langkah kerajaan Sarawak ini juga dilihat sebagai langkah ke belakang dan menghantar mesej yang salah terutama dalam usaha untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Menurutnya, dasar-dasar monopoli juga boleh dilihat sebagai tidak kompetitif yang memberi sentimen negatif kepada pelabur asing terhadap Malaysia, sekaligus dikhuatiri menyekat persaingan, mencipta ketidakpastian berhubung peraturan pasaran, dan potensi perubahan tiba-tiba dalam dasar dan undang-undang.

Mohd Zayad melahirkan kebimbangan perkara-perkara seperti ini boleh menjadi faktor penolak kepada pelabur asing untuk berasa tidak selesa melabur di Malaysia.

"Sudah semestinya langkah kerajaan Sarawak akan memberi kesan rantaian terutamanya terhadap ribuan pekerjaan, rakyat Sarawak, kontraktor, pembekal, pengangkut dan pengedar.

"Ramai rakyat Sarawak akan kehilangan pendapatan dan perniagaan apabila pembekal LPG sedia ada dan sudah lama bertapak di Sarawak, malah ada yang lebih daripada 10 tahun akan terpaksa menutup perniagaan mereka," katanya.

Menurut Mohd Zayad lagi, pelanggan juga tidak lagi mempunyai hak membuat pilihan dan terpaksa membeli daripada satu pembekal sahaja selepas ini.

"DPMM Kedah berpendirian landasan perniagaan sama ada pengeluaran barangan atau perkhidmatan di negara ini perlu bersifat terbuka kepada semua dan tidak boleh bersifat monopoli.

"Iklim perniagaan yang sihat perlu diutamakan dan perlu bersifat kompetetif serta melindungi hak dan pilihan pengguna,"katanya.

Beliau berkata, DPMM Kedah menolak kepada dasar-dasar seperti ini diamalkan di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kerajaan perlu konsisten dalam isu monopoli ini dan mempunyai amalan seragam kepada mana-mana pihak di Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan Petros akan dilantik sebagai pengedar tunggal LPG berkuat kuasa 1 Disember 2023.