Kane terus meledak di Bundesliga

Iklan
Harry Kane. - Foto: AFP

HARRY Kane membuktikan statusnya sebagai penyerang berbisa apabila meledak gol tunggal ketika membantu Bayern Munich menewaskan Cologne 1-0 di Berlin awal pagi Sabtu.

Jaringan terhasil pada babak pertama untuk Kane menghadiahkan Bayern kemenangan ke-10 musim ini sekali gus melonjakkan ke puncak carta Bundesliga.

Iklan
Iklan

"Ia satu daripada gol paling mudah pernah saya hasilkan dalam karier,” ujar Kane.

Jaringan terhasil menerusi serangan balas pantas apabila Bayern berjaya memperdaya pemain Cologne dalam kotak penalti.

Iklan

Bola berpunca daripada Leroy Sane yang berlari ke tengah untuk mengumpan kepada rakan sepasukan, Eric-Maxim Choupo-Moting.

Pertahanan Cologne, Julian Chabot cuba menghalang Choupo-Moting di atas garisan gol tetapi Kane berada di tempat yang tepat untuk menampan bola menerjah ke gawang.

Iklan

Gol itu menjadi jaringan ke-18 Kane dalam saingan Bundesliga.

Dalam kalangan peminat melihat Bayern berupaya menang besar ke atas pasukan tercorot liga itu, namun berbeza ketika aksi di padang.

"Peminat mungkin melihat kepada keputusan dan mahu lebih lagi (gol), tetapi ia satu aksi yang amat bagus daripada kami.

"Kami menguasai perlawanan dan patut menambah beberapa gol lagi pada babak pertama, namun tidak menemui sasaran,” ujar Kane.


Onana mungkin beraksi perkuat gawang United

Dalam perkembangan berasingan, peluang berbeza buat dua pemain Manchester United yang mengalami kecederaan untuk disenarai bermain menentang Everton dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin.

Penjaga gol, Andre Onana bersedia untuk beraksi, namun Rasmus Hojlund mungkin terlepas aksi tersebut.

Perkara itu didedahkan oleh jurulatih United, Erik ten Hag pada Jumaat.

"Andre OK. Dia tampil ketika sesi latihan hari ini (Jumaat), jadi dia bagus," ujar Ten Hag.

Onana ditimpa kecederaan ketika beraksi bersama Cameroon menewaskan Mauritius 3-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia minggu lalu.

Hojlund pula mengalami kekejangan otot dan tersisih daripada aksi bersama Denmark minggu lalu.

"Proses pemulihan (Hojlund) berjalan baik dan kami perlu menunggu laporan pegawai perubatan sebelum membuat keputusan,” kata Ten Hag.


Enrique puji mentaliti pemain PSG

Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique memuji sikap para pemain apabila mempamerkan mentaliti kemenangan ketika membenam AS Monaco 5-2 dalam saingan Ligue 1 awal pagi Sabtu.

Selepas rehat antarabangsa PSG kembali dengan semangat baharu apabila menyumbat gol menerusi lima pemain berbeza sekali gus membantu kelab itu kukuh di persada liga.

"Apa yang paling penting buat saya adalah sikap pasukan ini selepas rehat tugasan antarabangsa.

"Sukar buat jurulatih untuk mempersiapkan perlawanan sebegini tetapi ia berbaloi dan saya gembira dengan keputusannya,” ujar Enrique.

Dalam aksi itu, Goncalo Ramos, Kylian Mbappe, Ousmane Dembele, Vitinha dan Randal Kolo Muani memastikan tiga mata buat PSG, manakala Takumi Minamino dan Folarin Balogun menyumbang gol buat Monaco.

Menerusi kemenangan itu PSG mengutip 30 mata, empat mata di depan pasukan tangga kedua Nice, yang melayan kunjungan Toulouse malam Ahad.

Monaco di tangga ketiga dengan 24 mata.

"Apabila dua pasukan dengan tahap ini bermain satu perlawanan seperti hari ini (Sabtu) setiap peminat menikmati aksi yang menghasilkan tujuh gol,” kata Enrique.

PSG akan menentang Newcastle United dalam aksi Kumpulan F Liga Juara-Juara di laman sendiri pada Rabu.