GOMBAK - Isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu.
Menerusi perkongsian oleh bekas ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli, Allahyarhamah, Suzana Shaharuddin, 52 meninggal dunia di Hospital Pantai akibat kanser.
Menurutnya, Allahyarhamah disifatkan seorang yang amat komited dalam perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Beliau merupakan Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan isteri kepada Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin.
"Takziah buat seluruh keluarga dan sahabat. Moga roh Almarhumah ditempatkan bersama kalangan para solihin," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Walaupun dalam keadaan tidak sihat, Allahyarham sebelum ini dilihat sering menemani suami ketika kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu dengan berkerusi roda.
Beliau juga sempat menemani Mohd Kamri pada majlis mengangkat sumpah sebagai ADUN Bukit Antarabangsa pada September lalu.
"Alhamdulillah ALLAH SWT memberikan kesempatan untuk diri ini tatkala masih ada hayat yang secebis ini untuk dapat bersama-sama anak-anak ke DUN untuk saksikan papa (Mohd Kamri) angkat sumpah," menurut perkongsian Allahyarhamah di Facebook pada 19 September lalu.
Jenazah dijangka dibawa ke Masjid Bukit Antarabangsa untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan Tanah perkuburan Ukay Perdana jam 5 petang ini.