SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat pusingan U apabila bersetuju untuk mengekalkan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti akan datang.
Keputusan itu dibuat setelah mendapat restu isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman untuk terus memimpin parti berkenaan.
Ketika berucap pada sesi penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keputusan tersebut dibuat demi parti, agama, bangsa dan negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin umum tidak pertahan jawatan
"Sebenarnya kuasa yang paling besar bukan daripada sesiapa pun, tetapi isteri saya (Noorainee).
"Dia mesej saya, dia kata 'stay another term’ (kekal untuk satu penggal lagi), jangan kecewakan mereka (ahli parti), mereka perlukan kamu, mereka ikhlas yang (sayang).
"Saya jawab 'yes I know (ya, saya tahu), jadi dia kata teruskan, saya restu. Bersatu masih perlukan kamu, parti masih belum kuat.
"Jadi saya jawab pada dia dulu, saya kata 'OK Yang, i will stay for the last term'," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Parhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada Sabtu.
Sebelum ini bekas perdana menteri itu ketika sesi ucapan dasar presiden mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan tersebut bagi memberi laluan kepada muka baharu mengemudi parti.
Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi daripada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), perwakilan dan ahli parti yang bersidang selamat tiga hari bermula Khamis.
Dalam pada itu Muhyiddin mahu semua ahli parti berbaiah untuk teguh dan setia bersamanya, sekali gus memberi dukungan kepada parti untuk merampas tampuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
"Wallahi Wabillahi Watallahi kita akan terus beristiqamah, berjuang bersama-sama mendokong Bersatu sampai kita takluk Putrajaya,” ujarnya.