PRK Kemaman: Tempo kempen separuh masa pertama perlahan - Penganalisis

Iklan
Rentak kempen PRK Parlimen bagi separuh masa pertama boleh diibaratkan sama seperti cuaca di Parlimen itu sendiri, sedikit ‘lembap’ disebabkan hujan hampir setiap hari. - Gambar hiasan Bernama

CHUKAI - Rentak kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen bagi separuh masa pertama boleh diibaratkan sama seperti cuaca di Parlimen itu sendiri, sedikit ‘lembap’ disebabkan hujan hampir setiap hari.

Perang poster dan bendera dilihat kurang meriah menyebabkan suasana pilihan raya seperti sebelum ini kurang dirasai di sini, manakala kempen hanya didominasi calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Iklan
Iklan

Ia juga sama seperti siri ceramah dianjurkan kedua-dua parti bertanding iaitu BN dan PAS yang dilihat hanya berskala kecil dan disiar secara langsung, menyebabkan setiap sesi, pengunjungnya boleh dikira dengan jari.

Dari segi keberadaan calon, tidak dinafikan Raja Mohamed Affandi tidak membuang masa berkempen dengan program disusun setiap hari seawal subuh sehingga lewat malam, manakala calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula, dilihat tidak menggunakan waktu sepanjang tujuh hari ini sebaik mungkin.

Iklan

Bahkan Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu itu didakwa berada di Kuala Lumpur sehari selepas penamaan calon selain sibuk menguruskan mangsa banjir di daerah lain di negeri itu.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, perbezaan pendekatan berkempen itu mungkin didorong keyakinan PAS dengan kemenangan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Iklan

"PRU15 menyaksikan Pas menang kesemua kerusi Parlimen di Terengganu. Malah Parlimen Kemaman yang satu ketika dahulu kubu BN, mereka menang lebih 27,000 majoriti. Kemudian ketika PRN baru-baru ini Pas menang di kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jadi ini menjadi keyakinan kepada Pas. Melihatkan kepada trend sambutan yang diterima di Terengganu, mungkin orang Pasmerasakan tak perlu mereka kempen banyak-banyak. Tambah pula Menteri Besar sendiri sebagai calon, jadi lagilah mereka yakin menang,” katanya kepada Bernama.

Ini disokong antara lain kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dalam satu ceramah bahawa PAS yakin kalau letak botol air mineral pun PAS boleh memenangi PRK itu dan keyakinannya pada satu sesi ceramah lain bahawa mereka boleh meningkatkan majoriti kemenangan lalu kepada 30,000 undi.

Selain itu isu yang kerap dimainkan mereka ialah mengenai peruntukan tidak seimbang diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang, dan usaha mereka menukar kerajaan pusat dalam masa terdekat, seterusnya mengangkat Ahmad Samsuri ke jawatan tinggi sekiranya beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen.

BN pula banyak memainkan isu perlunya Ahli Parlimen yang boleh berkhidmat sepenuh masa di Parlimen itu, dan menjawab tuduhan-tuduhan Pas kononnya kerajaan persekutuan menuju ke arah negara sekular.

Sementara itu, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Mujibu Abd Muis menjangkakan aktiviti kempen akan menjadi lebih agresif memasuki separuh masa kedua tempoh berkempen dengan calon-calon akan mula memasuki ‘gear’ empat dan lima untuk meyakinkan pengundi memilih mereka.

"Sudah tentu selepas mengenal pasti kawasan putih, kelabu dan hitam barulah mereka dapat merancang apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya.

Beliau juga tidak menolak strategi berkempen secara online akan menjadi opsyen utama kempen di musim tengkujuh ini, dan calon-calon mungkin akan menghentikan kempen politik untuk usaha menyelamat, mengurus bencana dan sebagainya.

"Namun begitu kempen secara bersemuka tetap akan berlaku, tetapi tidak dalam ceramah atau skala besar, tetapi secara personal,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Media UMNO Bahagian Kemaman Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, fasa pertama kempen calon BN berada pada landasan yang baik dan berlangsung seperti direncanakan.

"Perancangan kita berjalan dengan baik sebagaimana yang kita inginkan dan respon itu bagus. Sebagai contoh apabila kita letak Raja Mohamed Affandi sebagai calon, bagi kita ia satu ‘game changer’ sebab secara tiba-tiba Menteri Besar terpaksa bertanding. Ini satu isu yang bagi kita amat menarik,” katanya ketika ditemui. - Bernama