Kim Swee presiden baharu PJBM

Iklan
Kim Swee

JURULATIH Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) sempena Kongres Tahunan PJBM bagi penggal 2022-2026 hari ini.

Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Presiden, memangku jawatan tersebut bagi mengisi kekosongan ditinggalkan mendiang, B Sathianathan yang meninggal dunia akibat kanser pada 18 Julai lepas.

Iklan
Iklan

Ia sekali gus menyaksikan kekosongan jawatan Kim Swee selaku Timbalan Presiden PJBM diisi bekas jurulatih Melaka United FC, Mohd Asri Ninggal dan bekas jurulatih Pahang FC, Mohd Razip Ismail.

"Kita akan teruskan perancangan mendiang Sathianathan dan kita juga mempunyai perancangan tersendiri. Apa yang penting adalah kita pastikan kebajikan jurulatih tempatan dititikberatkan kerana banyak isu yang timbul selama ini.

Iklan

"Kita ingin pastikan satu formula terbaik antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya jurulatih diberikan sesuatu yang sepatutnya kita terima sepertimana persatuan pemain yang cukup kuat," katanya pada sidang media selepas kongres tersebut, di sini hari ini.

Pada masa sama, Kim Swee menyifatkan tugasan selaku presiden itu bukan satu tugas mudah selain memikul tanggungjawab besar dalam mengendalikan persatuan besar dalam kalangan jurulatih tempatan.

Iklan

Pada kongres itu, dua Naib Presiden PJBM, Md Dali Wahid dan Aminudin Hussin mengekalkan jawatan masing-masing sementara Rezal Zambery Yahya dan Ishak Kunju Mohamad dipilih sebagai dua muka baharu bagi mengisi jawatan tersebut.

Sementara itu, dua muka baharu iaitu Chiew Chun Yong dan Haris Lajid dipilih bagi membarisi barisan exco manakala Ridzwan Abu Shah, Sulaiman Hussin, Rashid Mamud, Noor Zaidi Rohmat, S Balachandran, Farhana Abdullah dan Siti Suhaila Johari kekal memegang jawatan berkenaan. - Bernama