Segera laksana pelan ekonomi jangka pendek - Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kerajaan untuk merangka pelan ekonomi jangka pendek bagi menghadapi pertumbuhan ekonomi perlahan, inflasi tinggi dan peningkatan kadar pengangguran.

Beliau berkata, antara cara yang boleh dilakukan dengan meningkatkan perbelanjaan untuk merangsang sektor domestik.

Iklan
Iklan

"Keadaan ringgit yang lemah juga akan memberikan kesan. Benar, sukar untuk mengawal naik turun nilai ringgit disebabkan ia melibatkan faktor luar tetapi apakah kita hanya perlu berpeluk tubuh?

"Negara kini memerlukan pelan jangka pendek untuk berhadapan cabaran dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambah Ismail Sabri, lebih banyak pelaksanaan projek-projek kecil dan pemberian bantuan tunai akan merangsang ekonomi di peringkat akar umbi seterusnya mengurangkan beban rakyat.

Menurutnya, insentif berkenaan memerlukan dana yang besar. Justeru, kerajaan perlu mencari kaedah untuk meningkatkan pendapatan.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaburan langsung domestik (DDI) perlu diberikan perhatian dan dipermudahkan bagi mempercepatkan pelaksanaan.

"DDI menyumbang sebanyak 52.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan atau RM69.3 bilion, dipacu oleh pelaburan dalam sektor perkhidmatan, khususnya hartanah dan sektor utama.

"Kemerosotan eksport juga perlu ditangani dengan segera. Kita harus meneroka peluang-peluang baharu dan tidak tertumpu kepada pasaran tradisional,” ujarnya.

Ismail Sabri berkata, kebanyakan pasaran berkenaan diteroka melalui pelbagai perjanjian multilertal seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Ujarnya, perjanjian bilateral perlu diperbanyakkan kerana ia akan mempercepatkan perdagangan dua hala antara negara.

Tambah beliau lagi, ia secara tidak langsung akan membantu meningkatkan lagi eksport ketika dunia berhadapan dengan kitaran teknologi yang lemah.

"Dalam keadaan yang kian mendesak kini, naratif ekonomi berkembang positif berdasarkan petunjuk-petunjuk tertentu tidak sesuai untuk rakyat keseluruhannya.

"Petunjuk yang paling penting ialah tahap kebahagiaan rakyat yang dapat menikmati kemanisan daripada pertumbuhan ekonomi negara.

"Keadaan yang berlaku hari ini juga memberikan pengajaran yang amat penting kepada orang politik supaya lebih berhati-hati memainkan sentimen dan mengkritik,” katanya.