JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat tidak mengesah atau menafikan akan mengisi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang kini dipangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkannya.
Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, jawatan dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu perlu diisi segera berikutan isu kenaikan harga barang yang masih berlaku ketika ini.
"Namun ini tidak bermakna kekosongan jawatan Menteri KPDN susulan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia seharusnya diberikan kepada parti itu.
"Dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan pada November lalu, Perdana Menteri telah memperuntukan kuota dua jawatan menteri dan dua jawatan timbalan menteri kepada pemimpin dari Amanah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Keluarga Sejahtera Sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan Negeri Johor di Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah 2 di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Suhaizan yakin Anwar akan berpegang kepada kuota yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu dua jawatan menteri dan dua timbalan menteri kepada Amanah.
"Jawatan menteri apa untuk Amanah itu terpulanglah kepada Perdana Menteri yang mempunyai kuasa prerogatif untuk melantik sesiapa sebagai menteri," katanya.
Pada Jumaat, Anwar dilaporkan berkata, beliau sudah ada calon yang sesuai untuk mengisi portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandangnya, Salahuddin pada Julai lalu.
Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan butiran individu yang dimaksudkan dan menjelaskan calon itu akan diumumkan secepat mungkin.
Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada malam 23 Julai lalu, setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.
Ditanya mengenai pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah sesi 2023-2026, Suhaizan berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab jawatan pimpinan utama sekiranya dipilih dalam pemilihan tersebut, serentak penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2023 pada 22 hingga 24 Disember ini.
Katanya, pencalonan bagi pemilihan itu dibuat menerusi mesyuarat tahunan parti di peringkat cawangan dan negeri sebelum Konvensyen Nasional Amanah bermula.
"Mencalonkan diri sendiri bukanlah satu budaya dalam Amanah, ia terpulang kepada pimpinan yang akan dilantik.
"Dalam konvensyen itu para perwakilan akan memilih 27 orang dan kemudian dalam mesyuarat kumpulan ini bersama ketua sayap Wanita, Pemuda dan Wardah (Wanita Muda) akan memilih dan memutuskan siapa menjadi presiden, timbalan dan sebagainya," ujarnya.
Kira-kira 1,000 perwakilan melibatkan 190 kawasan layak memilih untuk pemilihan 27 jawatan pimpinan utama itu dalam Konvensyen Nasional Amanah 2023 yang bermula 22 hingga 24 Disember ini.