MELAKA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood, Bukit Palah dekat sini pada petang Sabtu.
Dalam kejadian lebih kurang jam 3.25 petang dan hujan lebat itu, mangsa, Muhammad Danish Mohd Faizal, disedari hilang oleh ibunya, Nor Amiza Che Kar, 28, ketika sedang berniaga berdekatan kawasan terbabit.
Menurutnya, sebelum itu mangsa dilihat bermain di kawasan berhampiran bersama abangnya berusia berusia empat tahun.
"Ketika sedang berniaga dengan keadaan hujan lebat tiba-tiba Danish hilang.
"Sebelum itu, saya lihat dia sedang bermain dan tidak lama kemudian dia tidak kelihatan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian pada Sabtu.
Tambahnya, dia kemudian bertanya kepada anak ketiganya itu di mana adik bongsunya namun anaknya itu menjawab tidak tahu.
Nor Amiza berkata, dia kemudiannya menemui selipar yang dipakai mangsa berada di kawasan rumput tepi longkang sebelum mencari mangsa bersama suaminya, Mohd Faizal Maarop, 38, di sekitar kawasan terbabit.
"Selepas gagal menemui mangsa, suami segera membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Baru.
Jelasnya, dia tidak menyangka insiden kehilangan anak itu berlaku ketika sedang mencari rezeki di situ sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika ditemui berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 3.45 petang daripada bapa mangsa.
Menurutnya, sehingga kini usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan dalam keadaan hujan.
"Seramai 10 anggota dan pegawai bomba serta 10 anggota dan pegawai polis terlibat dalam operasi SAR itu," katanya.