Tiada isu ‘borong’ pemain AMD

Iklan
Johan memberi jaminan 28 pemain AMD akan mendapat minit bermain secukupnya apabila mewakili pasukan di bawah FAS. - Foto Zahid Izzani

PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) nafi timbul isu pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan dipersia-siakan kerana kersemuanya akan bermain dengan mana-mana pasukan di bawah persatuan itu.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, 28 pemain AMD yang menyertai Selangor baru-baru turut diberi jaminan akan mendapat minit bermain secukupnya.

Iklan
Iklan

"Mereka akan bermain bersama-sama pemain-pemain muda Selangor dan PKNS. Pada saya tidak timbul isu pemain-pemain AMD hanya akan memanaskan bangku simpanan dan kurang minit bermain.

"Kita tidak senaraikan para pemain AMD bersama pasukan utama (skuad Liga Super Selangor) kerana takut mereka tidak mampu menyaingi pemain-pemain senior sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Iklan

Menurutnya, semua pemain AMD akan dinilai coach Michael Feichtenbeiner dan kemudian menentukan di mana pemain ditempatkan.

"Cuma diingatkan bahawa Selangor II adalah pasukan baharu dengan semua pemain bawah umur 23 tahun, maka peluang untuk pemain-pemain AMD bermain bersama Selangor II adalah tinggi,” katanya.

Iklan

Ditanya mengenai nasib barisan pemain muda skuad Piala Presiden dan Piala Belia Selangor serta PKNS selepas pengambilan 28 pemain AMD, Johan berkata, perkara itu juga tidak menjadi isu kerana mereka yang terbaik akan dipilih menyertai mana-mana pasukan di bawah naungan FAS.

"Pemain-pemain muda Selangor dan PKNS ini juga mempunyai peluang untuk naik ke pasukan Selangor II. Ini persaingan yang sihat dalam bola sepak Selangor kerana kita mencari permain terbaik untuk mewakili pasukan utama.

"Selain itu, kalau kita lihat kepada kerancakan Liga FAS sekarang, bakat-bakat muda ini tidak akan dipersia-siakan kerana setiap pasukan perlu mendaftarkan pemain bawah umur 21 tahun," katanya.

Katanya, situasi itu membolehkan pemain muda Selangor dan PKNS boleh menabur bakti kerana ada 100 pasukan dalam liga berkenaan.

"Kita juga hendak jelaskan betapa pentingnya Liga FAS dan Liga Juara-Juara Selangor (SCL) yang mana 16 pemain telah dipanggil pada sesi pemilihan tertutup bagi menyertai skuad Piala Presiden dan Piala Belia Selangor.

"Liga-liga dalam Selangor ini penting untuk mencari bakat baharu dan bakat sedia ada teruskan karier mereka,” jelasnya.

Johan turut menyifatkan pelantikan Feichtenbeiner selaku Pengarah Teknikal FAS sebagai satu keputusan penting dalam soal pemilihan pemain-pemain yang akan mewakili pasukan di bawah FAS.

"Kita lantik orang Jerman (Feichtenbeiner) yang tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana pemain dan pemilihan yang dibuat olehnya itu nanti pastinya berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

"Jadi kita biarkan dia lakukan tugasnya kerana tidak mahu ada keputusan berat sebelah atau memihak kepada mana-mana pihak. Dengan kata lain, pemilihan pemain yang dibuat olehnya berdasarkan kepada pretasi pemain ketika itu.

"Sekiranya pemain utama mengalami kecederaan dan perlu mencari pengganti, dia akan berhubung dengan coach B Sathianathan siapakah yang sepatutnya (pemain daripada Selangor II) diberikan peluang untuk bermain,” katanya.