LIVERPOOL membawa pulang satu mata berharga apabila berjaya mengikat Manchester City dengan keputusan seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad sebentar tadi.
Jaringan menerusi tonggak pertahanan, Trent Alexander-Arnold pada minit ke-80 sudah cukup buat Liverpool memadam gol pendahuluan City yang dihasilkan penyerang berbisa, Erling Haaland.
Sebelum pertembungan kedua-dua pasukan yang berada di tangga teratas EPL itu, Haaland dan bintang Liverpool, Mohamed Salah masing-masing mengejar rekod tersendiri.
Haaland memburu rekod selaku pemain terpantas menjaringkan gol ke-50 di pentas EPL, manakala Salah pula memburu rekod pemain terpantas menjaringkan gol ke-150 dalam saingan liga domestik Inggeris itu.
Tampil selaku tuan rumah, aksi babak pertama menyaksikan City lebih banyak mendominasi perlawanan sebaik wisel permulaan dibunyikan.
Selepas mengasak bertubi-tubi ke gawang Liverpool, City akhirnya memperoleh gol hasil jaringan Haaland pada minit ke-34.
Kesilapan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker membolehkan Nathan Akane merampas bola sebelum hantarannya disudahkan penyerang sensasi Norway itu.
Jaringan tersebut menyaksikan Haaland kini muncul pemain terpantas menjaringkan 50 gol dalam saingan EPL hanya dalam 48 perlawanan.
Tersentak dengan jaringan itu, Liverpool kembali memperkemas rentak mereka, namun ketumpulan penyudah membuatkan The Reds gagal memperoleh gol yang dicari-cari sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp memasukkan Luis Diaz dan Ryan Gravenberch bagi menambah kekuatan di barisan serangan.
Liverpool bernasib baik apabila jaringan pemain pertahanan, Ruben Dias pada minit ke-68 tidak disahkan pengadil Chris Kavanagh.
Ini selepas Kavanagh mengesan kekasaran yang dilakukan Manuel Akanji ke atas Alisson sebelum bek tengah Portugal itu menjaringkan gol.
Gol penyamaan yang dicari Liverpool akhirnya muncul pada minit ke-80 apabila Alexander-Arnold bijak melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada penghujung perlawanan termasuk dalam tempoh lapan minit masa tambahan, namun masing-masing gagal menambah jaringan.
Keputusan seri itu menyaksikan Liverpool memintas Arsenal di tangga kedua dengan merekodkan 28 mata, manakala City kekal menerajui carta EPL apabila mengumpul 29 mata.