PM minta jemaah menteri kerap turun jumpa rakyat

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan dasar semasa Kongres Nasional PKR 2023 di PICC. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua jemaah menteri lebih kerap turun ke bawah berjumpa rakyat.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, menteri dan timbalan menteri perlu banyak turun padang untuk memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan isu-isu nasional yang berlaku.

Iklan
Iklan

Anwar (tengah) bersalaman dengan pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan pada Kongres Nasional PKR 2023 di PICC. - Foto Bernama

"Kita berdepan dengan permasalahan dalam negara yang terus menghangatkan (situasi politik) termasuk dalam isu kaum dan fanatik agama.

Iklan

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa (ada pihak) mencanangkan dengan bawa ayat al-Quran dan hadis bahawa Islam terancam di negara ini," katanya.

Anwar bersalaman bersama para perwakilan semasa menghadiri Kongres Nasional PKR 2023 di PICC. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, pada malam Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Anwar memberitahu, pembangkang menggunakan alasan Islam terancam kononnya ekoran hukum syariah dicabar di Kelantan dan penganjuran konsert artis luar negara di Malaysia.

"Saya tanya berulang kali di (sidang) Parlimen di mana terancamnya (Islam)? Oh (katanya) kerana ada adegan dan pertunjukan pop di stadium. Saya jawab semasa kamu perintah ada ke tidak?

"Oh (katanya) kerana dicabar hukum syariah di Kelantan. Sebelum ia dicabar di Kelantan pada Mei 2022, ia (lebih awal) dibuat di Selangor pada 2021.

"Siapa Perdana Menteri waktu itu, siapa menteri undang-undang? Di mana pemimpin dari parti Islam yang dalam kerajaan ketika itu, mengapa dia tidak mengambil tindakan. Tidak ada suara dan sekarang seolah-olah kita yang menghalang,” ujarnya.

Anwar menjelaskan, dalam isu di Kelantan itu sepertimana disebut Ketua Hakim Negara, Mahkamah Persekutuan hanya mahu menentukan sama ada negeri ada kuasa atau sebaliknya untuk memperkenalkan beberapa undang-undang terutama yang membabitkan jenayah.

"Ia tidak ada kena mengena dengan kerajaan Persekutuan. Dalam kes di Kelantan undang-undang dibuat oleh negeri telah dicabar. Isu dia apakah perkara ini di bawah kuasa negeri atau kuasa Persekutuan.

"Jadi biar Mahkamah Persekutuan memutuskan. Dia (mahkamah) tidak berbincang tentang hukum syariah itu, dia putuskan tentang kuasa negeri membuat undang-undang,” tambahnya.

Anwar menegaskan, jika kerajaan mengizinkan negeri membuat undang-undang sesuka hati ia akan menimbulkan percanggahan antara negeri.

"Tapi sekarang Islam terancam (jadi) propaganda penunggang-penunggang agama di negara kita. Jadi saudara-saudara (jemaah menteri) mesti turun ke bawah, jawab masalah ini kerana fakta itu menyebelahi kita dan fakta itu dibohongi oleh mereka.

"Perkara ini bangkit sebelum kita perintah, perkara ini bangkit tahun 2021 dan 2022 yang tidak dicabar oleh mereka dan sekarang kita dihukum. Jadi lawan tetap lawan,” katanya lagi.