Duta Palestin, China hargai sumbangan Anwar

Iklan
Anwar Ibrahim - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Sepanjang memikul tanggungjawab selaku Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membina reputasi baik dengan pelbagai negara penting di peringkat antarabangsa.

Buktinya sempena sambutan setahun Kerajaan Madani pada 24 November, beberapa wakil negara luar tampil mengucapkan tahniah kepada Anwar dan menzahirkan harapan dua hala bersama Malaysia.

Iklan
Iklan

Antaranya, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang amat menghargai dan berterima kasih terhadap keprihatinan dan kelantangan Malaysia menentang jenayah genosid yang dilakukan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.

Walid Abu Ali

"Datuk Seri Anwar Ibrahim, Palestin dan rakyatnya amat berterima kasih dengan pendirian berani anda berhubung isu Palestin di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa.

Iklan

"Sokongan anda jelas terzahir menerusi kenyataan tegas ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 yang diadakan pada 21 September 2023 di New York,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambah beliau, Anwar merupakan pemimpin pertama bercakap kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden tentang kesengsaraan rakyat Palestin di Gaza ketika pencerobohan biadab Israel.

Iklan

"Palestin ada dalam ucapan ketika sidang media selepas upacara penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 pada 5-7 September 2023 di Jakarta, Indonesia dan ketika Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-8. Anda telah menekankan pendirian Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap Palestin.

"Pada ulang tahun setahun anda sebagai Perdana Menteri Malaysia, izinkan saya menyampaikan setinggi-tinggi ucapan tahniah di atas semua pencapaian cemerlang, dengan seikhlasnya saya turut mendoakan kejayaan mendatang, kemajuan berterusan, kemakmuran dan cinta untuk Malaysia,” katanya.

Bagi Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing, Anwar amat mementingkan pembangunan hubungan dengan China.

Ouyang Yujing

"Sejak memegang jawatan, beliau telah dijemput melawat ke China sebanyak dua kali dan mencapai konsensus penting dengan Presiden China, Xi Jinping untuk membina komuniti China-Malaysia.

"Inisiatif ini pastinya membuka satu halaman sejarah baharu dalam hubungan dua hala China-Malaysia.

"Cadangan Perdana Menteri untuk membina Malaysia Madani dengan mengutamakan pembangunan negara dan rakyat adalah selari dengan konsep Jinping iaitu membina komuniti masa depan yang dapat dikongsi bersama umat manusia,” katanya.

Tambah Yujing, sepanjang tahun lalu, dengan bimbingan strategik pemimpin kedua-dua negara, China dan Malaysia telah memperkukuhkan kerjasama yang saling menguntungkan dan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

"China bersedia untuk terus bekerjasama dengan Malaysia bagi memperdalami perkongsian strategik komprehensif, mendorong hubungan kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi, memanfaatkan rakyat kedua-dua negara dan serantau dengan lebih baik,” katanya.