SEORANG penulis yang telah menghasilkan banyak novel sejarah, bertanyakan kepada saya apakah bezanya novel sejarah yang dihasilkannya dengan teks metasejarah?
Kedua, seorang penulis muda pula bertanya, bagaimanakah hendak menghasilkan karya metasejarah itu?
Novel sejarah bersumberkan aspek sejarah yang sebenar, seperti yang termaktub dalam buku-buku sejarah.
Di Malaysia pada suatu zaman dahulu, pernah muncul zaman karya genre sejarah.
Di sekitaran 1950-an dan awal 1960-an, begitu banyak novel Harun Aminurrashid seperti Panglima Awang, Darah Kedayan, Wan Derus dan sebagainya dihasilkan.
Dalam genre drama, lahirnya nama Shaharom Hussain, Syed Alwi al-Hady, Onn Abdul Rahman dan ramai lagi.
Karya bercorak sejarah dan beraliran romantisisme itu, memberi sumbangan ke arah pembentukan nasionalisme, seperti drama Shakespeare menginggeriskan orang-orang England, dan drama Shaharom Hussain menjadikan Melayu bertambah Melayunya.
Karya metasejarah pula, juga berdasarkan kepada sejarah yang termaktub, tetapi memberi tafsiran yang berbeza menurut kepercayaan pengarangnya.
Perkataan meta sudah digunakan sejak zaman Greek yang bermaksud melampaui, yang selalunya membawa maksud rujukan kendiri.
Seperti sebuah kritikan, kemudian ada penulis lain yang mengkritik kritikan itu, maka namanya metakritik.
Melampaui juga bermaksud tidak hanya aspek sejarah, juga aspek kekinian dan futuristik.
Dalam penghasilan karya sastera, terbahagi kepada tiga aksara penciptaan: bercorak sejarah, kekinian dan futuristik.
Yang sejarah menggarap peristiwa yang telah berlalu. Kekinian pengarang mengutip dan memparodi peristiwa harian, yang kontekstual dengan nilai keterdekatannya dengan budaya hidup mutakhir.
Futuristik, sastera yang cuba meramal dan menujumkan wajah hidup masa depan yang dibongkar oleh naluri bawah sedar, berisi dengan harapan, impian dan pelbagai keinginan.
Dengan itu, konsep metasejarah itu sangat luas, tidak hanya tafsiran baharu terhadap peristiwa masa silam, juga masa keterkinian dan masa mendatang.
Karya metasejarah tidak mementingkan kronologikal peristiwa, ia menumpukan kepada gagasan kekuasaan, dimensi politik, yang juga berunsur pascakolonialistik.
Teori dekonstrusi
Dari segi pembinaan watak tidak menggunakan sistem tekstual historikal, sebaliknya menggali semula perwatakan mengikut pusat watak seperti yang dianjurkan oleh Derrida dalam teori dekonstruksi.
Dimasukkan juga unsur-unsur teori semiotik, ekspektasi harapan dan fenomena pascakolonialistik, supaya garapannya menjadikan naratif dramatikanya berbeza dengan apa yang ada.
Kemasukan pelbagai teori dalam penghasilan karya tersebut, ada kemiripan dengan teks pastis dan lotta dalam kalangan pascamoden.
Kombinasi pelbagai teori seperti parodi, semiotik, dekonstruksi, pascakolonialisme, budaya, perjalanan dan new historisisme secara eklektikal, supaya ia melahirkan sebuah teks yang rencam dan berwarna. Dan untuk mengungguli tekstualitinya dihadirkan teori teksdealisme.
Untuk contoh karya metasejarah ialah Di Hujung Taming Sari (2022) dan Cinta Junjungan (2003).
Kumpulan pertama mengandungi sepuluh buah drama.
Di Hujung Taming Sari dipentaskan 23 April 2011 di UPSI. Dalam Di Hujung Taming Sari rancangan yang hendak membunuh Hang Tuah adalah diatur oleh Bendahara Tun Perak, selepas Hang Tuah mendapat gelar Paduka Raja, yang mencabar kedudukannya sebagai Bendahara Melaka.
Patih Karma Wijaya bersesongkol dengan Rafal, manusia Inggeris yang hendak menjajah Melaka yang menjadi idaman Barat, kerana mereka memerlukan rempah ratus untuk melangsungkan kehidupan yang berdepan dengan salji tebal bagi menyimpan makanan.
Peranan Barat mendominasi dalam drama ini. Rafal (Raffles) dalam sejarahnya muncul dalam abad kesembilan belas di Singapura, tetapi sengaja saya datangkan ke abad kelima belas di Melaka.
Di Hujung Taming Sari sebenarnya menentang arus perdana sejarah silam, bahawa Tun Perak adalah perdana menteri terbilang Melaka, biografinya tidak pernah tercalar; namun dalam drama itu mengembalikannya kepada insan biasa, yang cemburu, tertekan dan akhirnya kalah dengan dirinya sendiri, apabila sultan lebih memuliakan Hang Tuah.
Dia juga termakan jarum Patih Karma Wijaya yang dihasut oleh Rafal, mahukan kehancuran bumi Melaka apabila tonggaknya Hang Tuah dibunuh, dan yang membunuhnya bukannya Jebat, sebaliknya Datuk Bendahara sendiri.
Di atas segala-galanya Bendahara pun sanggup membunuh Sultan demi kuasa.
Watak Bendahara adalah watak tersimpan dalam sejarah. Watak tersimpan ini dijadikan pusat peristiwa seperti yang dianjurkan oleh teori dekonstruksi.
Makna baharu
Saya sedar tentang unsur sejarah yang telah didekonstruksi itu, bagaimanapun resepsi khalayak adalah menyenangkan.
Daripada kajian pelajar projek tahun akhir, khalayak sedar transformasi itu, dan menerima meskipun ia berbeza dengan kelaziman sejarah.
Drama kedua, Pasir-Pasir di Pasir Salak juga cuba mentafsir dan mengintrepretasi sejarah untuk memberi makna baharu, menelusuri siratan makna ganda dan makna tambahan, serta menghargai watak atau peristiwa bersifat yang lain iaitu makna tersembunyi – makna yang tidak terucap.
Dengan itu metasejarahnya akan merongkai semula sejarah dan menyusun serta menstrukturkannya semula mengikut keyakinan dramatis.
Pergerakan dan pusat peristiwa berbeza dengan drama sejarah, yang bersifat historikal atau fotokopi.
Kumpulan Cinta Junjungan mengandungi 20 cerpen metasejarah yang ditulis antara 2016 hingga 2022.
Kebanyakannya bersumberkan sejarah Islam, terutamanya kehidupan Junjungan dan para sahabat.
Di samping itu merujuk juga situasi terkini, terutamanya aspek politik dan ekonomi negara.
Cerpen Di Negeri Pembohong terpilih memenangi Hadiah Sastera Perdana 2016 dan Simulakrum Si Birch tafsiran peristiwa selepas Perjanjian Pangkor memenangi cerpen eceran Darul Ridzuan 2020.
Jelas, menulis karya metasejarah, memerlukan pengetahuan sejarah dan menguasai suasana politik dan ekonomi sezaman.
Sambil itu ia meramalkan juga keadaan kehidupan masa hadapan.
Karya itu memaparkan gagasan tentang kesenjangan sosial dan menafsirkan kehidupan dengan kaca mata pengarang.
Yang dipentingkan ialah pemikiran dan pemerkasaan terhadap kuasa politik negara.
Kejahilan tentang khazanah masa silam, selalunya akan menjerumuskan pengarang kepada menulis apa yang pernah ditulis orang, atau melakukan kesalahan yang sama seperti yang pernah disejarahkan. Masa kini bukan fotokopi terhadap masa silam.
Metasejarah tidak terikat kepada kaedah struktural dan telah memecahkan formalisme teks, serta melampau logik dan kausalitinya.
Dengan itu tidak membenarkan kepalsuan naratif, dan berlaku jujur terhadap realiti yang dipilihnya.
Tidak sahaja memelihara dan melestarikan realiti, bahkan dituntut membina dan mencari realiti masa hadapan yang dapat mencerminkan zaman mendatang.
Dalam kaca mata konvensional, metasejarah menimbulkan tanda tanya, kenyataan objektif bercampur aduk dengan fahaman kedirian pengarang.
Tetapi ia menarik dengan kesegaran peristiwa dan makna yang tersembunyi, ada waktunya bersifat simbolik pula.
Khalayak terasa dicerdikkan penjelasan kecil ini, diharapkan dapat menjawab dua soalan tentang karya metasejarah itu.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal.