GAZA - Kumpulan pejuang Hamas menangguhkan pusingan kedua pembebasan tahanan sehingga Israel komited untuk membenarkan trak bantuan memasuki utara Gaza.
Briged Al-Qassam Hamas menambah bahawa Israel tidak mematuhi syarat yang dipersetujui dalam membebaskan tahanan Palestin.
Dalam kenyataan balas, jurucakap tentera Israel menegaskan bahawa rejim Zionis menghormati sepenuhnya gencatan senjata itu.
Bagaimanapun wakil Hamas di Lubnan Osama Hamdan memberitahu bahawa penggantungan itu disebabkan pelanggaran gencatan senjata yang dilakukan oleh Israel yang dikaitkan dengan bantuan yang memasuki Gaza.
"Kami mengesahkan komitmen kami melaksanakan dan menjayakan perjanjian yang diusahakan pengantara dari Qatar dan Mesir, selagi musuh juga komited terhadap pelaksanaannya.
"Kami mengesahkan Israel sehingga kini tidak mematuhi terma dam perjanjian gencatan senjata, sama ada dengan mencabuli dan menembak ke arah trak bantuan yang sepatutnya tiba di utara Gaza.
"Mereka juga memanipulasi nama dan kriteria pembebasan tahanan, termasuk wanita dan kanak-kanak. Ini meletakkan perjanjian dalam risiko dan kami meminta supaya pengantara meneliti semula pencabulan ini," katanya.
Osama memberitahu sejumlah 340 trak bantuan memasuki Gaza sejak jumaat dan daripada jumlah itu 65 trak sudah tiba di utara wilayah berkenaan.
Jumlah ini bagaimanapun hanya mewakili separuh daripada apa yang dipersetujui Israel sebelum ini.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari dalam reaksi kepada pengumuman Hamas memaklumkan pembebasan kumpulan kedua tahanan sedang dipercepat.
Ini selepas pengantara dari Qatar dan Mesir campur tangan menyelesaikan isu yang dibangkitkan pejuang Hamas.
Beliau juga sahkan puluhan trak bantuan dari Amerika Syarikat (AS) dan Mesir kini menuju ke utara dan selatan Gaza.
"Usaha membebaskan tahanan adalah kewajipan moral dan etika kami. Kami komited untuk memenuhi kewajipan ini dalam apa jua cara sekalipun.
"Usaha ini sedang dijalankan dan kami akan memaklumkan kepada keluarga serta orang awam bila ia akan dilaksanakan. Kami perlu bersabar dan perkara in akan dimaklumkan," katanya. - Awani