KEMAMAN - Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung dakwaan parti Islam berkenaan tidak mempunyai kekuatan organisasi dan kelebihan bakat.
Menurut bekas pemimpin UMNO itu, organisasi Pas jauh lebih tersusun berbanding semua parti yang ada di negara ini baik pembangkang mahupun kerajaan.
"Dia (Rafizi) kata organisasi Pas lemah sebab dia tak nampak organisasi kita dan bagaimana cara kita susun. Dia kata pula Pas boleh himpunkan ramai orang sampai beratus-ratus ribu tapi pilihan raya tak menang.
"Nak himpun orang ramai kalau tak ada organisasi, tak jadi! Nak angkat bendera banyak-banyak, buat rapat umum dan adakan program tak jadi kalau organisasi tidak tersusun. Di Malaysia hari ini hanya Pas sahaja berupaya menggerakkan gerakan massa sebab kita ada organisasi kita.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PRK Kemaman di Markas UDM Bandar Baru, Bukit Mentok dekat sini pada malam Sabtu.
Pada Sabtu, Rafizi yang menjadikan Pas sebagai contoh telah menyatakan idealisme sahaja tanpa ada kekuatan organisasi dan kelebihan bakat sesuatu gerakan (parti) itu tidak akan ke mana.
Menurut Rafizi, idealisme sahaja tanpa kekuatan organisasi dan juga bakat kepimpinan yang baik itu tidak boleh menterjemahkan idealisme kepada keberkesanan kita kepada rakyat.
Mengulas lanjut, Annuar menyatakan kemenangan Pas pada pilihan raya kerana memiliki organisasi yang tersusun selain mempunyai matlamat yang jelas dan tepat.
"Tak perlu kita dabik dada untuk buka semua cara tentang organisasi Pas, itu rahsia kita.
"Tak perlu beritahu pada PKR tentang organisasi kita. Pas menang kerana organisasi yang tersusun," ulasnya.
Dalam pada itu, Annuar juga berkata, Pas berpegang kepada prinsip perjuangan yang benar menerusi kaedah yang tepat.
"Walaupun lambat, matlamat kena betul dan caranya juga kena betul. Kenapa UMNO yang dahulu parti besar (pengaruh) namun menjadi semakin kecil dan kecil.
"Sebab dia (UMNO) buat cara tak betul. Apabila buat cara tak betul sebab itu rakyat tinggalkan UMNO.
"Kenapa Pas dari kecil (pengaruh) semakin besar dan besar sebab matlamat dan caranya betul," ulasnya.