KAJIAN terperinci perlu dilakukan untuk menentukan nilai dan kaedah pampasan yang perlu dipatuhi mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD).
Ia bagi menyelaraskan segala mekanisme pampasan latihan seseorang pelatih selepas pengumuman Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa mana-mana kelab bola sepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih AMD akan dikenakan 'tanda harga’ sebagai insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi berkenaan, yang membangkitkan reaksi pelbagai pihak.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, setiap pandangan daripada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem bola sepak tanah air diperlukan dalam kajian tersebut.
"Sekarang bila cakap pasal pampasan, semua nak bercakap. Ada yang berasas, ada yang tiada asas. Bila kita buat kajian betul-betul dan duduk bersama, mungkin persetujuan dapat dicapai. Semuanya termasuk jumlah harga, nilai dan persetujuan bersama (kelab-kelab profesional).
"Pelatih AMD setiap tahun ada 50 pemain, kemungkinan akan wujudnya ‘gred’ dalam kalangan pelatih. Yang ‘laku keras’ mungkin dalam 20 pelatih. Jika (gred rendah) dikenakan nilai pampasan yang mungkin kelab tak mampu nak bayar, takkan pelatih itu dibiarkan tanpa kelab sekian lama,” katanya kepada Bernama.
Safirul turut menegaskan badan pengelola liga tempatan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai ‘suara’ pasukan bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M), sewajarnya berada dalam Jawatankuasa Pemandu NFDP dan turut serta dalam kajian tersebut.
"Dalam Jawatankuasa Pemandu NFDP, semua ada...FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia)...KBS (Kementerian Belia dan Sukan)...kecuali MFL sahaja. Kalau MFL ada sekali sudah tentu akan memberi input yang lebih kerana semua pasukan bertanding berada di bawah MFL. Jadi ada baiknya Jawatankuasa Pemandu libatkan MFL,” katanya
Seramai 34 pelatih AMD generasi pertama habis ‘diborong’ dengan 28 daripadanya menandatangani kontrak bersama Selangor sementara enam bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), sekali gus menyaksikan pasukan lain tidak berpeluang menikmati kelebihan dimiliki pelatih akademi berkenaan.
Namun NFDP tidak hanya mengenai AMD semata-mata, dan kajian disarankan itu turut boleh memanfaatkan barisan pelatih NFDP di luar AMD seperti di Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN).
"Pampasan latihan tidak boleh berhenti setakat pelatih AMD kerana dalam NFDP bukan ada AMD sahaja, ada SSM serta SSN dan mereka ini termasuk dalam NFDP. Jadi macam mana dengan nilai barisan pelatih ini?. Semua ini perlu difikikan bersama,” tambah Safirul.
Menurut Safirul, sekiranya isu pampasan latihan ini tidak diperhalusi dengan teliti, semua pihak tidak akan menyedari impak ekonomi hasil pembayaran pampasan tersebut selain ketiadaan kajian itu turut akan memberikan impak negatif terhadap masa depan seseorang pelatih itu.
"Perkara ini bukan boleh main setakat letak nilai, nanti impaknya akan jadi negatif bukan sahaja kepada pasukan tetapi juga boleh jejaskan pelatih-pelatih AMD. Jadi perkara ini kena duduk berbincang bersama MFL dan melihat secara keseluruhan apakah impak ekonomi menerusi pampasan latihan ini,” katanya.
Mengulas dakwaan Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM, Datuk Jamal Nasir mengenai ‘gangguan’ oleh pasukan Liga-M ke atas pelatih AMD, Safirul mempersoalkan mengapa isu itu baru dibangkitkan sekarang sedangkan ia merupakan amalan biasa sebelum ini.
Jamal mendakwa ada pasukan Liga-M yang mempengaruhi pelatih dan ibu bapa mereka untuk menerima tawaran yang diberikan sehingga menjejaskan perkembangan pemain kerana berada dalam keadaan selesa apabila menganggap sudah ada pasukan menanti.
"Tanpa AMD sebelum ini pun pasukan sering berhubung dengan pelatih dan ibu bapa SSM sebab pelatih-pelatih tidak boleh tandatangani kontrak sendiri kerana belum berumur 18 tahun, ia satu kaedah yang sama dari dulu.
"Saya yakin setiap pelatih sudah faham reputasi AMD yang mereka bawa bila keluar. Jadi terpulang kepada masing-masing untuk gunakan ia sebagai pendorong untuk beraksi lebih cemerlang ataupun merasakan ia sebagai satu bebanan,” katanya. - Bernama