Kutipan sumbangan kepada Palestin perlu diteruskan

Iklan
Fairuz Hafiizh (tengah) ketika sidang akhbar sempena program Semarak Kemanusiaan Palestin Peringkat NGO Negeri Perak di Arena Al-Muttaqin, Taman Meru di sini pada malam Sabtu.

IPOH - Kutipan sumbangan kepada Palestin tetap perlu diteruskan biarpun terdapat isu-isu dan siasatan dikenakan terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu.

Pengerusi Persatuan Semarak Dakwah Negeri Perak (Semarak), Fairuz Hafiiz Othman berkata, pihak tertentu dilihat cuba memanipulasi isu kutipan berkenaan sehingga menyebabkan orang ramai hilang keyakinan untuk menderma biarpun perkara tersebut masih di peringkat siasatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagaimanapun kutipan sumbangan berkenaan tidak boleh terhenti kerana dana diperlukan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah angkara tentera zionis.

"Selaku NGO yang menggerakkan program-program kesedaran Palestin, kita memang menyedari perkara ini namun bantuan kepada Palestin kita perlu teruskan.

Iklan

"Jadi apa yang kita lakukan adalah sumbangan orang ramai yang kita kutip kita salurkan terus ke NGO Cinta Gaza Malaysia yang memang terbukti mereka telus menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin," katanya kepada pemberita ketika program Semarak Kemanusiaan Palestin Peringkat NGO Negeri Perak di Arena Al-Muttaqin, Taman Meru di sini pada malam Sabtu.

Sebahagian orang ramai yang hadir memberikan sokongan terhadap program Semarak Kemanusiaan Palestin Peringkat NGO Negeri Perak di Arena Al-Muttaqin, Taman Meru di sini pada malam Sabtu.

Fairuz Hafiizh berkata, sehingga kini pihaknya berjaya mengumpulkan dana lebih RM30,000 hasil sumbangan orang ramai sempena program berkenaan.

Iklan

Menurutnya, penganjuran program tersebut juga tidak menggunakan dana sumbangan orang ramai sebaliknya ia mendapat tajaan daripada pelbagai pihak.

Mengulas mengenai program berkenaan, beliau menjelaskan ia tercetus apabila melihat gelombang sokongan terhadap rakyat Palestin semakin perlahan.

Menurutnya, dalam tempoh sebulan program tersebut dirancang dan akhirnya berjaya dilaksanakan dengan kehadiran kira-kira 1,000 orang.

Beliau berkata, program berkenaan turut disertai lebih 20 NGO di Perak antaranya Persatuan India Muslim Perak (PRIM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Perak, Jalinan Bersatu Sahabat Perak (Jabat), Persatuan Budak Bus Stand Ipoh dan sebagainya.