KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memaklumkan kemajuan keseluruhan projek solar terapung Danau Tok Uban, Pasir Mas dekat sini sudah mencapai tahap 96.95 peratus.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, projek tersebut telah masuk ke peringkat akhir termasuk fasa ujian dan pentauliahan.
"Memandangkan ini adakah projek solar terapung terbesar di Asia Tenggara dan antara yang terbesar di dunia, maka banyak fasa pembelajaran yang perlu dilalui untuk menyiapkan projek ini.
Iklan
Iklan
"Kerja-kerja pemasangan pulau solar 100 peratus siap termasuk pemasangan 247,680 pelampung, 247,680 panel solar, melabuhkan 6,180 buah batu sauh dan 20 buah kabin inverter yang telah siap ditambat pada kedudukan masing-masing," katanya semasa menjawab soalan daripada Zuraidin Abdullah (Pas-Chetok) pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Ahad.
Ujarnya, kabel 33 kilo volt sepanjang 10 kilometer dari Kampung Chandan ke fasiliti elektrik di Bendang Nyior telah pun siap 100 peratus.
Wan Roslan memberitahu, kerja-kerja di fasiliti elektrik Bendang Nyior sedang berjalan dengan lancar dan dua menara besar kabel 132 kilo volt telah pun siap didirikan dan dalam proses penyambungan.