KOTA BHARU - Hampir 5,000 penduduk lima kampung di Melor, di sini umpama bergadai nyawa kerana menggunakan Jambatan Sri Kulim yang bergegar ketika dilalui kenderaan akibat runtuhan pada bahagian tebing Sungai Melor sejak dua tahun lalu.
Jambatan konkrit yang berusia 37 tahun itu juga akan tenggelam setiap kali banjir dengan air atas jambatan itu pernah mencecah 0.7 meter (m) pada kejadian tahun 2017.
Seorang penduduk, Mohd Shukri Yaakob, 44, berkata, jambatan sepanjang 30m tersebut menjadi laluan penduduk untuk menyelamatkan diri dan kenderaan terutama apabila berlaku banjir kerana jalan-jalan lain dalam kampung tenggelam lebih dalam.
Menurutnya, dia pernah mengalami pengalaman ngeri apabila keretanya hampir hanyut semasa meredah arus sungai di atas jambatan itu.
"Ketika itu air setinggi 0.5m di atas jambatan dan saya berasa seperti separuh nyawa apabila jambatan dan kereta dipandu bergegar.
"Selain itu, ada beberapa kejadian kereta penduduk yang nyaris terjatuh ke sungai kerana besi jambatan yang sudah reput dan patah,” katanya ketika ditemui di Jambatan Sri Kulim, Melor di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Pengulu Mukim Padang Raja, Fadli Shah Ismail berkata, jambatan itu digunakan oleh penduduk dari Kampung Sri Kulim, Padang Raja, Tasek, Bukit Kechik dan Mahligai.
"Perkara ini pernah diadukan kepada pihak yang berkenaan dan berharap mereka segera menggantikan jambatan ini.
"Jambatan baharu juga perlu dibina dengan lebih tinggi bagi membolehkan penduduk melaluinya dengan selamat pada waktu banjir,” kata beliau.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha yang dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum dengan aduan oleh pihak penduduk berkenaan dan akan mengambil tindakan segera.
"Kami membuat semakan dan mengarahkan kakitangan untuk melihat keadaan jambatan itu dan mengumpulkan maklumat.
"Tindakan seterusnya akan dilakukan untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin semasa menggunakan laluan itu,” ujar beliau.