KEMAMAN - Pas dilihat sengaja membawa retorik kosong dengan memainkan sentimen kerjasama UMNO dengan DAP sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu juga seakan lupa bahawa mereka yang terlebih dahulu bekerjasama dengan DAP.
"Macam mereka tak pernah buat. Saya ingin maklumkan, Pas jauh lagi lama bekerjasama dengan DAP ketika mereka berada dalam Pakatan Rakyat.
"Kami baru setahun tapi dia bertahun-tahun. Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bersama dengan DAP untuk mengalahkan BN pada PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14). Takkan dah lupa.
Ahli Parlimen Pontian itu turut meminta pengundi muda agar bijak memilih wakil rakyat.
"Pada saya, kita kena membuka minda dan membuat kajian bahawa yang sebenarnya banyak berjasa adalah kerajaan BN dan Kerajaan Perpaduan. Tanyalah sesiapapun, termasuk mak ayah.
"Saya menyeru kepada generasi muda, apa yang telah dan akan berlaku adalah tanggungjawab yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan bersama BN," jelasnya.
PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu BN dan Pas.
BN mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor manakala Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mewakili Pas.