SEREMBAN - Pengundi di Kemaman, Terengganu perlu menggunakan kebijaksanaan memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu bagi menikmati keuntungan berganda.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen Kemaman sudah dikuasai oleh Pas yang menerajui kerajaan negeri.
"Pengundi di sana perlu menggunakan kebijaksanaan, jangan ikut emosi demi kebaikan rakyat, banyak kemudahan dan bantuan melalui wakil parlimen yang duduk bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
"Mereka akan mendapat keuntungan (peringkat), negeri pun dapat untung, Persekutuan pun dapat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan dan Jualan Agro Madani 2023 di Senawang pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kempen di Kemaman berjalan dengan baik, tetapi terganggu disebabkan oleh cuaca.
"Kita dalam PRK ini, masing-masing mempunyai peluang yang sama. Sama ada kita boleh memang ataupun tidak, usaha mesti dilakukan. Jentera berjalan dengan baik tetapi kekangan sebab hujan.
" Justeru, kita akan cuba santuni seramai mungkin pengundi di Kemaman untuk menerangkan mengapa pilihan raya ini diadakan," katanya.
PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 2 Disember ini bagi hari mengundi yang diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.