PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika ini belum menerima sebarang permohonan daripada bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar atau peguamnya untuk membuat semakan hukuman mati terhadapnya.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan yang diterima setakat ini hanya melibatkan Azilah Hadri yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.
"(Setakat ini) belum ada maklumat apa-apa (mengenai Sirul) yang boleh saya sahkan. Cuma (yang buat permohonan) Azilah.
"Azilah yang tinggal di Penjara Sungai Buloh termasuk dalam kumpulan 900 pertama yang memohon semakan berkait hukuman. Sabitan kekal, (hanya) hukuman itu yang mereka minta untuk Mahkamah Persekutuan semak.
"Dalam kes Sirul, beliau kalau hendak memanfaatkan ruang, memasuki semakan ia harus dibuat oleh peguam beliau (Sirul). Jadi itu prosesnya,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kerajaan supaya menawarkan jaminan untuk tidak mengenakan hukuman mati bagi memudahkan cara objektif keadilan dan kebenaran secara meluas.
Media sebelum ini melaporkan tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 864) pada 4 Julai lalu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Sigh dipetik berkata, pemansuhan itu bertujuan menghormati hak setiap individu untuk hidup di negara ini serta memastikan keadilan bagi semua pihak.
Azilah dan Sirul Azhar Umar, telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam dekat sini antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.
Mereka bagaimanapun telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua bekas anggota polis itu.
Selepas dibebaskan, Sirul Azhar ke Australia dan kini berada dalam tahanan imigresen selepas visa dan pasportnya tamat tempoh dan kini berada di Pusat Tahanan Villawood, Sydney.
Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu.