KOTA KINABALU - Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menolak dakwaan bahawa UMNO Sabah kini telah berpecah dan membentuk dua kumpulan.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah menyifatkan dakwaan itu hanya presepsi yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk memecah belahkan kesatuan dalam UMNO Sabah demi kepentingan politik mereka.
"UMNO Sabah memang berpecah kepada beberapa kumpulan tetapi bukannya berpecah dari segi kepimpinan tetapi dipecahkan kepada beberapa kumpulan pemikir yang akan merangka plan strategi yang lebih berkesan untuk memenangi hati rakyat khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Kumpulan pemikir ini dipecahkan dalam beberapa kumpulan pemikir untuk merancang plan strategi yang lebih efisien dan berkesan untuk mencapai kemenangan khususnya dalam menghadapi PRN akan datang
"Kita perlu kumpulan pemikir menggariskan plan strategi dan hala tuju untuk parti sebagai persiapan unggul menuju PRN akan datang," katanya selepas marasmikan Retreat UMNO Bahagian Kota Kinabalu di sini pada malam Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu yang ditularkan oleh pihak tertentu di media sosial bahawa UMNO Sabah kini berpecah ekoran pertemuan beberapa pemimpin UMNO bersama Ketua Menteri yang juga Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berpandangan, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih mereka berhak berjumpa Ketua Menteri bagi menyampaikan isu yang dihadapi oleh rakyat di kawasan masing-masing.
"Mereka ADUN yang dipilih oleh rakyat, tidak salah mereka berjumpa Ketua Menteri untuk menyampaikan masalah atau isu yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.
"Jika Ketua Menteri menghormati kerajaan Perpaduan, beliau perlu memberi ruang untuk bertemu dan mendengar keluhan rakyat terutamanya ADUN dari UMNO yang ketika ini di Sabah diletakkan seperti Adun Pembangkang," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar mengingatkan ahli UMNO agar tidak terpengaruh dengan sentimen beberapa pihak yang sengaja tularkan isu itu.
"Ini sebagai satu perang psikologi dan propaganda yang merupakan strategi mereka untuk memecah belahkan kesatuan dalam UMNO Sabah.
"UMNO sebagai sebuah oraganisasi yang bersistem menyedari gerak kerja yang berstrategi dan sistematik mampu mengembalikan kedudukan parti keramat ini dalam arena politik negara khsusnya di Sabah," katanya.