KOTA BHARU - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Syahbuddin Hashim mempersoalkan tindakan kerajaan negeri berkait Belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Khamis lalu defisit.
Beliau berkata, persoalan itu dilontarkan bertujuan mahu kerajaan negeri menghuraikan secara terperinci bagaimana mahu mengatasi belanjawan defisit.
"Bagaimanapun, saya tidak diberikan masa yang cukup, berlaku banyak celahan sehinggakan ucapan diganggu," katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim pada Ahad
Menurut Mohd Syahbuddin, mengambil contoh perbelanjaan tahun lalu, beliau melihat beberapa jabatan termasuklah dari Pejabat Menteri Besar tidak membelanjakan peruntukan sebagaimana yang telah diberikan sebelum ini.
Ujarnya, bagaimana hendak atasi defisit tersebut, sebab itu beliau mempersoalkan ada beberapa jabatan termasuk dari Pejabat Menteri Besar tidak berbelanja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas itu berkata, tiada gunanya kerajaan negeri mengaku pandai mengurus tetapi tidak berbelanja.
Beliau mengambil contoh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 2022 lalu yang banyak menerima rungutan daripada pengguna apabila hanya menggunakan 56 peratus perbelanjaan berpandukan kepada laporan.
"Jadi kita nak tahu cerita sebenar. Begitu juga projek Bandar Perabot di Gua Musang yang menimbulkan tanda tanya sama ada ia betul-betul akan dilaksanakan atau sebaliknya.
"Pada belanjawan tahun lepas diumumkan peruntukan sebanyak RM3.2 juta untuk Bandar Perabot tetapi untuk tahun ini tidak ada. Saya pergi semak di tapak dan setakat ini hanya ada timbunan bagi 'crusher run' sahaja," katanya