KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan menjadi korban pertama banjir apabila ditemukan lemas selepas tergelincir ke sungai dipercayai ketika bermain di belakang rumahnya di Kampung Kenari di sini pada Ahad.
Mayat Che Muhammad Faqih Muhamad Faiz ditemui Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada jam 1.40 tengah hari.
Komander Operasi PPDA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa Pengkalan Chepa, Pengawai Bomba Kanan II, Muhammad Samsudin Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian mangsa yang hilang di sungai itu pada jam 12.17 tengah hari.
Menurutnya, seramai 16 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
"Mangsa dipercayai bermain di belakang rumah dan tergelincir ke dalam sungai berhampiran.
"Pasukan PPDA menjalankan operasi mencari di permukaan dan melakukan selaman di kawasan mangsa dipercayai lemas sebelum menemukan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang melakukan pemeriksaan
"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia,” katanya.