MARANG - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM10 juta bagi bantuan kelengkapan persekolahan kepada lebih 80,000 penerima pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan itu menyasarkan golongan yang kurang berkemampuan, khusus untuk memasuki sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.
"Agihan bantuan itu sedang berjalan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kita jangkakan ia akan selesai minggu ini, sebelum sesi persekolahan bermula," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Agihan Bantuan Musim Tengkujuh di Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abd Razak dan Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris.
Sementara itu katanya, seramai 525 penduduk di DUN Rhu Rendang menerima bantuan musim tengkujuh, berupa wang tunai dan barangan keperluan harian seperti beras.
"Pada musim tengkujuh ini, ada sebilangan penduduk yang terjejas seperti golongan nelayan. Jadi bantuan ini diharap akan membantu meringankan belanja dapur mereka.
"Peruntukannya sekitar RM50,000 untuk DUN Rhu Rendang sahaja, ia sebagai bantuan sementara untuk mereka.
"Bagi keseluruhan Terengganu, kita masih menunggu berapa ramai yang terkesan kerana setakat ini tiada kerosakan dan kemalangan jiwa. Kita akan tunggu sehingga penghujung musim tengkujuh untuk menilai bentuk bantuan dan jumlah yang mungkin diterima mangsa yang terlibat," katanya.