Kerajaan Perpaduan tak pernah pinggir bantuan kepada rakyat Terengganu - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad Maslan

CHUKAI - Kerajaan Perpaduan tidak pernah meminggirkan Terengganu dalam menyalurkan bantuan terus kepada rakyat walaupun negeri itu ditadbir pembangkang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, rakyat di negeri itu terus menikmati bantuan daripada kerajaan Persekutuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah keseluruhan RM241.8 juta melibatkan 390,210 individu tahun ini.

Iklan
Iklan

"Bantuan kepada pesawah Terengganu turut diberikan termasuk melalui Bernas (Padiberas Nasional Berhad) atau bantuan Khas Aidilfitri kepada 4,483 pesawah berjumlah RM4.6 juta, selain (Skim) Bantuan Kebajikan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat melibatkan 23,620 orang berjumlah RM1.28 juta.

"Sebelum ini Terengganu banyak menikmati bantuan, jadi kita ingin meneruskan perkara ini dan mudah kalau ada bantuan lain seperti jalan perhubungan desa, bantuan baik pulih rumah, menaik taraf bilik darjah, perbandaran dan kampung tradisi,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi Kampung Mak Chili di sini, hari ini, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Iklan

Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata sekiranya BN menang pada PRK itu, Sabtu ini, beliau percaya Kemaman akan menjadi ‘anak emas’ dan menerima pelbagai penambahbaikan dan pembaharuan seperti dilaksanakan BN di Parlimen itu sebelum ini.

"Alangkah baiknya jika ada jambatan perundingan untuk merundingkan perkara yang disebut tadi kerana kalau Menteri Besar menang... di Dewan Rakyat dia masih pembangkang, jadi biar kita dapat satu pemimpin yang berada dalam kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan jentera BN yang berkempen pada PRK Kemaman agar tidak meletakkan kekalahan gabungan itu dengan majoriti lebih 27,000 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sebagai halangan untuk menang pada PRK kali ini.

Beliau berkata, ini kerana tiada yang mustahil dalam gelanggang politik negara, malah calon yang diketengahkan BN, Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera mempunyai peluang yang baik.

"Kita perlu membina jambatan perhubungan antara kerajaan pusat dan negeri dan kita beri satu jambatan yang tegap yang dibesarkan oleh Kemaman ini yang dilihat kukuh untuk jadi penghubung, jadi jangan dibakar satu-satunya jambatan yang kita mahu bina ini,” katanya. - Bernama