KOTA KINABALU - Golongan individu berusia antara 15 hingga 35 tahun antara paling ramai dikesan melakukan pelbagai kesalahan dan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang sebulan operasi bersepadu dilaksanakan di seluruh negara.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, sepanjang operasi dilaksanakan pelbagai kesalahan telah dikenal pasti dan diambil tindakan termasuk mengeluarkan notis serta sitaan kenderaan.
"Kebanyakan golongan yang melakukan kesalahan adalah individu berusia 15 hingga 35 tahun. Inilah golongan yang kerap melanggar undang-undang dan mereka inilah golongan umur yang terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana kebanyakannya tiada lesen, insurans, cukai jalan dan tidak terlatih di jalan raya.
"Bagi kesalahan tiada lesen memandu, alasan yang diberikan sangat remeh seperti tiada masa untuk mengambil ujian memandu dan memang sikap mereka hanya gunakan kenderaan untuk perjalanan dekat saja dan ada juga memberi alasan telah pandai memandu," katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Bersepadu di kawasan parkir Tanjung Lipat, di sini pada Ahad.
"Saya ingin mengingatkan kesalahan-kesalahan ini masih lagi dijumpai, masih lagi di tahap mendukacitakan iaitu sangat serius.
"Saya rasa, advokasi terhadap keselamatan jalan raya ini harus diteruskan dari masa ke masa dengan kerjasama pelbagai agensi supaya penguatkuasaan lebih berkesan," katanya.
Sebelum itu, dalam operasi yang dihadirinya, beliau memaklumkan sebanyak 350 kenderaan telah diperiksa.
"Operasi selama tiga jam ini kita telah keluarkan 53 notis pelbagai kesalahan dan kita turut terpaksa menyita lima kenderaan yang didapati telah melanggar peraturan jalan raya secara serius," katanya.