Azilah antara 900 banduan akhir mohon semakan hukuman gantung

Iklan
Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA - Bekas anggota polis yang disabitkan dengan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Azilah Hadri merupakan 900 banduan akhir yang telah memohon semakan hukuman gantung.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, secara keseluruhan terdapat lebih 1,060 banduan akhir termasuk Sirul Azhar Umar yang disabit dengan kesalahan sama.

Iklan
Iklan

"Azilah yang kini berada di Penjara Sungai Buloh termasuk dalam kumpulan 900 pertama yang memohon semakan berkait dengan hukuman (gantung).

"Sabitan (kesalahan) kekal (tetapi) hukuman itu yang mereka minta untuk Mahkamah Persekutuan semak.

Iklan

"(Di pihak Sirul Azhar ketika ini) belum ada maklumat apa-apa lagi yang boleh saya sahkan," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Saifuddin Nasution sebelum itu menghadiri sesi perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023.

Iklan

Azilah dan Sirul Azhar telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 atas pertuduhan membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam dekat sini antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi keesokan harinya pada 2006.

Mereka bagaimanapun telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua bekas anggota polis itu.

Selepas dibebaskan, Sirul Azhar ke Australia dan kini berada dalam tahanan imigresen selepas visa dan pasportnya tamat tempoh dan kini berada di Pusat Tahanan Villawood, Sydney.

Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu.

Media sebelum ini melaporkan tiada lagi hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia susulan penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 864) pada 4 Julai lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Sigh dipetik berkata, pemansuhan itu bertujuan menghormati hak setiap individu untuk hidup di negara ini serta memastikan keadilan bagi semua pihak.