KLANG - Kegiatan lumba haram di kawasan Klang Selatan didapati meningkat secara mendadak apabila sebanyak 61 lokasi direkodkan berbanding hanya 16 pada tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara lokasi utama aktiviti haram itu melibatkan Persiaran Raja Muda Musa.
"Setakat Oktober ini sebanyak 163 individu terdiri pelbagai peringkat umur diberkas dipercayai terlibat dalam kegiatan berkenaan," katanya kepada pemberita ketika Program Konvoi Motosikal Polis Selangor 2023 di Jalan Tengku Kelana dekat sini pada Ahad.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan lumba haram.
"Polis tidak akan berkompromi terhadap isu melibatkan lumba haram, sama ada yang menyertai perlumbaan atau menonton, tindakan akan tetap diambil.
"Penglibatan dalam lumba haram boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 42 dan 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurut beliau, lumba haram bukan sahaja merisikokan nyawa individu terlibat malah pengguna jalan raya lain.
Dalam pada itu, Program Konvoi Motosikal Polis Selangor 2023 ini disertai lebih 50 penunggang terdiri daripada pegawai dan anggota polis negeri ini.
Konvoi motosikal berkuasa tinggi itu bermula di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen(IPK) Selangor di Shah Alam sekitar jam 10.30 pagi.
Konvoi diketuai Hussein itu kemudiannya berhenti bagi beberapa program di Jalan Tengku Kelana, Klang sebelum berakhir di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Sepang.
Antara program diadakan adalah sumbangan kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di Masjid India Muslim Jalan Tengku Kelana dan program tinjauan di sekitar kawasan Jalan Tengku Kelana, Klang.