CYBERJAYA - Seorang pelancong maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan e-hailing dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 41.8 arah Cyberjaya - Dengkil/KLIA di sini semalam.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu berlaku apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebaik sahaja tiba di lokasi tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati kenderaan e-hailing dipandu lelaki berusia 22 tahun itu dipercayai dilanggar di bahagian belakang oleh sebuah kenderaan lain dari arah sama.
"Bagaimanapun, nombor pendaftaran kenderaan itu tidak dapat dipastikan.
"Ekoran pelanggaran itu pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke bahagian kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan mangsa berusia 45 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada di bahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Serdang bagi proses bedah siasat.
"Rakannya bersama pemandu kenderaan e-hailing itu pula hanya mengalami kecederaan ringan dan mereka mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Putrajaya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.