PENYANYI popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL, dikhabarkan bakal mengahwini seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Tiko Pradipta Aryawardhana pada 2 Disember ini.
Portal media Indonesia menyebut majlis pernikahan pasangan itu akan dilangsungkan di sebuah hotel di Bali.
Khabar itu mula menjadi buah mulut selepas salah seorang kakitangan Pejabat Urusan Agama Pasar Minggu Jakarta Selatan, Emma Fatmayani memaklumkan kedua-duanya sudah pun melengkapkan urusan dokumentasi bagi tujuan perkahwinan itu.
"Permohonan nikah sudah dihantar, tetapi soal tarikh, kami tidak tahu,” katanya seperti dipetik media Indonesia.
Awal tahun ini, industri hiburan kecoh memperkatakan hubungan cinta baharu BCL dengan Tiko selepas bapa tunggal kepada tiga orang anak itu muncul di majlis ulang tahun kelahiran ke-40 BCL.
Bahkan, Tiko juga dikhabarkan sering menemani BCL ke pelbagai acara lain.
Setakat ini, BCL belum membuat sebarang pengesahan tentang berita itu.
Kehidupan peribadi BCL mendapat perhatian meluas media tempatan selepas dia kehilangan suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang juga seorang artis popular dari Malaysia pada 18 Februari 2020.
Ashraf menghembuskan nafas terakhir pada usia 41 tahun akibat serangan jantung.
BCL dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 8 November 2008 di Jakarta dan dikurniakan seorang cahaya mata, Noah. - Awani