'Jangan buat gimik macam Muhyiddin' - Rafizi

Iklan
Rafizi menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di PICC, Putrajaya pada Ahad.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta supaya tidak membuat gimik seperti dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menghangatkan Kongres Nasional Tahunan PKR 2023.

Ia merujuk kepada tindakan Muhyiddin yang mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang disandangnya pada pemilihan parti itu akan datang.

Iklan
Iklan

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, perbahasan Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 dilihat sedikit hambar berbanding tahun lalu yang mana ahli-ahli lebih gembira, bersemangat melaungkan slogan 'lawan tetap lawan'.

"Saya tahu ia tidak mudah daripada kita parti yang sebelum ini menjadi pembangkang. Sebenarnya ia lebih mudah berbahas untuk menentang lawan daripada mengupas isu-isu membina negara khususnya dalam pentadbiran serta idea-idea dasar yang memang mencabar kita.

Iklan

"Sebab itu ada sedikit permintaan dari Datuk Seri Anwar, kalau perbahasan kita hari ini hambar sekalipun, jangan cuba-cuba nak buat gimik macam Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kot-kot orang kata perbahasan ini konon kata nak menarik diri, lepas itu balik tanya Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail)," katanya.

Iklan

Pada Jumaat, Muhyiddin mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2023 kali ke-6 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Dalam pada itu, Rafizi turut mengulas mengenai tindakan pembangkang yang memainkan isu kaji selidik melibatkan populariti Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ujar beliau, sudah menjadi adat resam parti untuk tidak menolak apa sahaja kritikan dan pandangan daripada semua pihak.

Menurutnya, apa sahaja pandangan yang disokong dengan data, bukti dan kupasan yang baik, maka ia boleh diterima sebagai satu azimat.

"Tetapi ada juga pandangan yang sebenarnya tidak berpandukan pada bukti dan fakta, maka pandangan ini kita ambil 'with a pinch of salt' (tidak boleh percaya sepenuhnya).

"Kalau ingat sejarah, bila masa orang kata PKR dan Anwar ini popular? Mana pernah.

"Dulu dari zaman awal parti, orang kata PKR ini adalah parti 'the weakest link' (paling lemah)," ujarnya.