PUTRAJAYA - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur supaya jangan terapkan budaya terlalu selesa dengan pencapaian yang ada dalam kalangan pimpinan parti.
Ujar beliau, sebarang teguran berkenaan kelemahan diri perlu diterima oleh semua, namun perlu bertegas jika dilemparkan dengan fitnah atau tuduhan berat yang membawa unsur perkauman serta sentimen negara.
"Saya masih ingat lagi dalam kerajaan terdahulu, sistem pendidikan terbaik di dunia. Kemudian kesihatan dan masalah pengendalian vaksin serta Covid-19 terbaik di dunia.
"Ini bahayanya. 'Culture of contentment' (budaya selesa). Kita berikan fakta tentang kemajuan kita.
"Kalau sudah tanya apakah pelaburan kita memuaskan, saya jawab alhamdulillah baik tetapi masih harus dipertingkatkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, beliau sering menekankan Menteri Pendidikan agar meningkatkan mutu kementerian mulai tahun hadapan.
"Maksudnya kita belum berpuas hati dengan mutu pendidikan di negara kita.
"Saya juga menegur berulang kali Menteri Kesihatan, harus ada langkah-langkah baru, penjimatan, cara perolehan perubatan dan keselesaan kemudahan yang lebih baik, itu kita harus tingkatkan," ujarnya.