JOHOR BAHRU - Polis Johor menafikan ada memberi keizinan untuk kenderaan pengiring polis digunakan mengiringi (escort) wanita dikenali sebagai 'Mak Cik Kemboja' keluar meninggalkan kilangnya di Skudai pada Sabtu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dakwaan itu tersebar menerusi satu video tular di TikTok.
"Hasil semakan mendapati sekitar jam 12.30 tengah hari, Sabtu berlaku kekecohan di kilang tersebut membabitkan beberapa individu.
"Polis telah hadir mengawal kekecohan yang berlaku di lokasi berkenaan," katanya pada Ahad.
Sebelum itu, tular di TikTok seorang individu mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak mengiringi wanita yang berasal dari Kemboja itu meninggalkan kilangnya ketika berlaku kekecohan di situ pada Sabtu.
Dakwanya, sekiranya perkara itu benar, ia amat memalukan PDRM kerana seolah-olah melindungi warga asing yang telah menghina bangsa Melayu.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman menegaskan sama sekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang.
"Orang ramai diminta tidak menyebarkan berita yang tidak sahih kerana boleh mengelirukan serta menggugat keamanan.
"Jika ada sebarang maklumat, boleh tampil buat laporan polis untuk membantu siasatan dilakukan," katanya.
Isu itu mula menjadi perhatian, selepas atu klip video berdurasi 1 minit 7 saat tular di TikTok memaparkan seorang usahawan wanita melontarkan kata-kata ‘Melayu malas’ ketika mengadakan pentstriman langsung, tular sehingga menerima kecaman ramai.
Susulan itu, wanita berkenaan tampil membuat permohonan maaf, dipercayai ditujukan kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Setakat ini, sebanyak 14 laporan polis dibuat terhadap wanita terbabit dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan sesuatu kaum.