KOTA BHARU - Hasrat keluarga menyambut ulang tahun kelahiran Che Muhammad Faqih Muhamad Faiz tidak kesampaian selepas kanak-kanak itu ditemukan lemas di Sungai Pasir Hor di belakang rumahnya di Kampung Kenali di sini, pada Ahad.
Bapa saudara mangsa, Che Muhamad Fahmi Che Abdul Halim, 19, berkata, kakaknya, Siti Aisyah Awang, 21, pernah berkali-kali menyebut mahu menyambut ulang tahun kedua anak tunggal tersebut pada 26 Disember ini.
Menurutnya, perancangan itu bagaimanapun tidak sempat dilaksanakan selepas Che Muhammad Faqih, setahun 11 bulan disahkan meninggal dunia akibat lemas genap sebulan sebelum majlis keraian.
"Tahun lepas, belum cukup wang nak buat majlis dan tahun ini sambutan dirancang bersama sepupu serta ibu saudara yang turut dilahirkan pada Disember, tetapi apakan daya dia ‘pergi’ dulu.
"Dia seorang kanak-kanak yang aktif namun tidak pernah pula bermain di kawasan sungai di belakang rumah yang kebetulan airnya melimpah kerana hujan sejak tiga hari lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Kenali di sini, pada Ahad.
Menceritakan tragedi menyayat hati itu, kata Che Muhamad Fahmi, kanak-kanak tersebut kali terakhir dilihat berada di bahagian dapur sebelum masuk ke bilik untuk minum susu botol bersama bapanya, Che Mohd Faiz, 20.
Ujarnya, bapa kanak-kanak itu kemudian keluar untuk ke tandas sebelum datuk mangsa, Che Abdul Halim Che Harun, 54, pulang ke rumah dan mendapati pintu hadapan terbuka manakala Che Muhammad Faqih tidak ada di dalam rumah.
"Kami mencarinya di kawasan sekitar tetapi tidak menjumpainya dan meminta bantuan penduduk untuk bersama-sama mencari Che Muhammad Faqih selain menghubungi ibu mangsa yang sedang berniaga di Kota Bharu.
"Selepas dua jam usaha gagal, kami menghubungi pihak bomba yang datang melakukan selaman di sungai lalu menjumpainya dalam limpahan air di belakang rumah,” katanya.
Ujar Che Muhamad Fahmi, dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini, kanak-kanak itu kelihatan sangat manja dengan datuk dan bapanya apabila kerap memeluk dan berkali-kali mencium tangan mereka.
"Kami tak sangka kejadian ini terjadi namun tetap reda dengan ketentuan takdir.
"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenali selepas selesai bedah siasat,” katanya.