AMPANG - Kalau perlu potong, potonglah...ia tidak jadi masalah, demikian reaksi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai saranan orang ramai supaya kerajaan memotong elaun menteri Kabinet sebagai salah satu langkah penjimatan kewangan negara.
Azmin berkata, soal itu tidak menjadi satu masalah.
"Apa yang penting kita harus melihat keperluan pada hari ini untuk menguruskan kewangan secara bertanggungjawab dan berhemah.
"Tidak ada ketirisan, tidak ada kebocoran, tidak ada amalan rasuah dan salah guna kuasa kerana pengalaman pahit yang kita alami semenjak beberapa tahun ini telah memberikan kesan yang amat parah kepada ekonomi negara dan juga rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas selepas membuat lawatan di kawasan sebuah banglo yang terkesan dengan pergerakan tanah di Jalan Kelab Ukay 2 hari ini.
Katanya, kerajaan hari ini telah meletakkan satu fokus untuk banteras rasuah dan amalan salah guna kuasa.
"Kerajaan hari ini berbelanja secara berhemah dan sentiasa fokus dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
"Saya kira kita telah kembali untuk menguruskan pembangunan dengan jayanya di negara ini," katanya.