PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Perpaduan tidak pernah menafikan hak wakil rakyat pembangkang, malah elaun mana-mana wakil rakyat di negara ini tidak pernah disinggung di bawah pentadbirannya.
Dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang dihadiri 1,391 perwakilan, Presiden PKR itu menegaskan, kerajaan meneruskan peruntukan pembangunan negeri pembangkang walaupun tidak disalurkan terus kepada ahli Parlimen.
"Peruntukan di kawasan Pas, Bersatu di kawasan Parlimen kita teruskan. Sekolah, masjid, perubahan-perubahan semua, kita lakukan apa-apa projek pembangunan, tetapi kita tidak salurkan melalui ahli Parlimen.
"Mengapa kita nak salur kepada ahli Parlimen yang hari-hari cerca kita, (ingin) menumbangkan kita, maki kita,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata, pembangkang hanya menggunakan sentimen agama dan kaum tetapi gagal membuktikan mereka mampu mentadbir negara dengan baik meskipun berpeluang menjadi kerajaan sebelum ini.
Selain itu, Anwar menyangkal dakwaan kononnya beliau menyogok wakil-wakil rakyat pembangkang bagi menarik sokongan mereka terhadap kerajaan sekarang.
"Ahli-ahli Parlimen menyeberang, dia kata kita bagi sogokan, saya kata tiada, saya tak jumpa mereka sebelum mereka membuat keputusan.
"Bila dia minta nak jumpa, saya kata buat keputusan dulu, baru jumpa. Keputusan dia, dia tahu dasar kita, dia lihat perkembangan ekonomi dan negara ini,” katanya.
Anwar juga meminta pemimpin-pemimpin India dalam parti itu agar tidak mempunyai perasaan defensif apabila ada pemimpin parti India mempersoalkan tindakan kerajaan menjaga kebajikan kaum itu, kerana Malaysia merupakan negara pertama yang mahu menoktahkan kemiskinan tegar tanpa kecuali.
"Pemimpin-pemimpin parti politik India menjerit. Saya tanya masa mereka berkuasa, apakah mereka tidak terlibat dengan sakau-menyakau, mengambil harta rakyat. Saya harapkan rakan-rakan India tidak terikut-ikut,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau mewajibkan semua kepimpinan PKR peringkat Pusat, Negeri serta Cabang supaya menjadi anggota dalam penubuhan Koperasi Keadilan Berhad (KIRA) sebelum akhir tahun ini.
"Saya tegaskan ini perlu kerana ia adalah satu ikhtiar yang baik, yang melangkaui agenda politik khusus, tetapi ekonomi rakyat. Koperasi ini saya sebut dua malam yang lepas, adalah kegiatan ekonomi yang mungkin menjadi 'raksasa' atau 'gergasi' jika ia dapat didukung oleh ramai kemudian diurus dengan baik.
"Sejarah koperasi negara kita ada gemilangnya tetapi masalahnya adalah pengurusan, jadi sebab itu dengan jaminan pengurusan yang baik, saya percaya kita akan sekali lagi menempa sejarah bagaimana koperasi boleh meningkat dalam masa singkat dan menjadi satu sukses dalam negara kita," katanya.
KlRA yang didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Koperasi 1993 pada 31 Januari 2023 dilancarkan Perdana Menteri awal tahun ini sekali gus menjadikan PKR parti pertama menjaga kebajikan ahlinya dengan memperkenalkan model perniagaan koperasi. - Bernama