PETINJU Thailand yang mewakili Rizq Muaythai dari Melaka, Areepen Kitiyamat mengungguli Tali Pinggang Sinar Harian dalam Kejohanan Grand Final Kuda Merah International World Muay Thai 2023 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam Sabtu.
Kejayaan tersebut diraih selepas petinju berusia 20 tahun itu menundukkan Soo Sak Chai dari Thailand dalam pertarungan tiga pusingan yang berakhir dengan kiraan mata.
"Selepas dapat membaca pergerakan lawan dan saya memperoleh mata menerusi serangan kaki serta tangan, perasaan itu hilang. Saya dapat menguasai pusingan kedua serta ketiga dengan baik dan tak sangka usaha itu menjadi," katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Pertembungan agak seimbang pada pusingan pertama dengan kedua-dua petinju saling berbalas serangan untuk memperoleh mata, namun pusingan seterusnya Sak Chai kerap kali terjatuh selepas diasak sekali gus memberi kemenangan kepada Areepen.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Hadir sama Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.
Dalam pada itu, Khuzairi Azim Mohd Kamal dari Kuala Lumpur 7 pula menewaskan Mohd Irfan Ramadan Abd Syukur dari Combat of Shadow Muaythai untuk membawa pulang Tali Pinggang Celcius dalam pertarungan tiga pusingan.
Tali Pinggang Borong Sakan pula menjadi milik petinju Red Wolves Muaythai Selangor, K Kumaran selepas menewaskan Wan Mohd Sabri Mohd Zuki dari Thaivisix Gym secara kiraan mata dalam pertarungan lima pusingan.
Petinju Bara Emas Muaythai Selangor, Amirul Syafiq Ubaidah pula membawa pulang Tali Pinggang Sany Char Koay Teow setelah membenam cabaran Nawib Ullah Bakhshi dari Sampuri Afghanistan menerusi pertembungan lima pusingan.