SHAH ALAM - Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang disabit kesalahan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu perlu mendedahkan dalang kes tersebut bagi menghentikan sebarang spekulasi.
Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, pendedahan itu penting supaya masyarakat mengetahui situasi sebenar termasuk kronologi kejadian.
"Terlalu banyak spekulasi dan yang sebenar-benarnya tahu mengenai kejadian itu adalah mereka yang terlibat sahaja.
"Sirul Azhar perlu dedahkan, tetapi yang menjadi tanda tanya, kenapa baru kini dia nak bagi keterangan selepas dijatuhkan hukuman.
"Kalau berani, dia (Sirul) kena balik Malaysia, buat laporan polis barulah siasatan dan proses perundangan yang lain boleh dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sirul Azhar Umar dalam temu bual eksklusif Al Jazeera English's 101 East pada Jumaat mendakwa, dia dijadikan kambing hitam dan mengaku menerima RM1 juta semasa berada di Australia daripada sumber yang tidak dinamakan bagi menutup mulut.
Beliau turut mendakwa dirinya mendapat arahan daripada ahli politik tertinggi untuk membunuh wanita berkenaan.
Sebagai respons kepada dakwaan Sirul, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Peguam bela & Peguam cara Shafee and Co menggesa Sirul untuk mendedahkan segala-galanya mengenai dalang di sebalik kes tersebut.
Justeru, ujar Shahul Hamid, keterangan mengenai situasi sebenar perlu dilakukan segera sama ada menerusi pembelaan keterangan dalam mahkamah atau membuat satu laporan polis baharu.
Jelas beliau, tindakan mengikut proses undang-undang itu dapat meredakan keadaan dan menenangkan semua pihak serta mengurangkan spekulasi tidak berasas.
"Mungkin pihak mahkamah (Malaysia) boleh buat keputusan untuk menarik terlebih dahulu hukuman gantung sampai mati kerana selagi ia kekal, selagi itulah kerajaan Australia tidak akan melepaskan dia (Sirul).
"Proses ekstradisi perlu dilakukan, barulah siasatan dan proses perundangan yang lain boleh diteruskan,” katanya.
Mahkamah Persekutuan pada 2015 memutuskan sabitan dan menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri atas kesalahan membunuh Altantuya.
Model Mongolia itu ditembak di kepala pada 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam, Selangor dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan.
Azilah kini berada di Penjara Kajang manakala Sirul telah melarikan diri ke Australia terlebih dahulu dan ditahan di pusat tahanan imigresen negara itu.
Mahkamah Tinggi Australia pada November lalu memutuskan bahawa penahanan imigresen tanpa had adalah menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun Australia tidak akan menghantar pulang Sirul ke Malaysia kerana undang-undang negara itu tidak membenarkan individu yang berhadapan hukuman mati dihantar pulang ke negara asal.