TIDAK salah rasanya untuk melabel pasukan Harimau Malaya yang ada pada ketika ini adalah antara skuad terbaik yang pernah dimiliki negara sejak sekian lama.
Tahun 2023 juga boleh dikatakan tahun yang agak positif buat pasukan negara bermula dengan menewaskan pasukan di ranking bawah dan kini kita sudah tidak gentar untuk menghadapi pasukan yang rankingnya jauh lebih baik.
Rekod perlawanan di bawah kendalian Kim Pan-gon menunjukkan peningkatan mendadak apabila menang semua perlawanan persahabatan tahun ini berdepan Turkmenistan 1-0, Hong Kong (2-0), Kepulauan Solomon (4-1) dan membelasah Papua New Guinea 10-0.
Kemudian pasukan negara mengambil pendekatan untuk berhenti menguji kekuatan dengan pasukan lemah dan kemudiannya menempuh dua aksi persahabatan berdepan pasukan ranking bawah 100 dunia pada Jun.
Mengejutkan apabila Harimau Malaya berjaya seri 2-2 dengan Syria di ranking ke-92 dunia dan China (79) yang berlangsung di Chengdu, China sekali gus membuktikan sememangnya pasukan negara sedang meningkat naik di sebalik kurangnya keyakinan penyokong negara pada ketika itu.
Rentak cemerlang itu diteruskan pada kejohanan Pestabola Merdeka apabila menundukkan India (102) 4-2 dan hanya tidak bernasib baik apabila tewas kepada Tajikistan (109) dunia 0-2 pada perlawanan akhir.
Melihatkan kemampuan pemainpemain negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin berani untuk mencipta sejarah baharu apabila mengalihkan tumpuan untuk cuba membuat kejutan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Diundi dalam Kumpulan D, Harimau Malaya bermula dengan langkah kanan menundukkan Kyrgyzstan ranking ke-97 dunia 4-3 sebelum menewaskan Taiwan 1-0 untuk berada di kedudukan teratas kumpulan.
Kesemua keputusan positif yang dicapai ini turut memberikan kesan ketara kepada ranking FIFA apabila secara tidak rasminya Harimau Malaya terus mendaki untuk berada di kedudukan ke-130 dunia - ranking terbaik sejak 17 tahun lalu.
Meniti zaman emas
Ada penyokong yang sudah melabel pasukan ini meniti zaman emas seperti yang dikecapi pada era 70-an ketika zaman legenda Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann.
Pada era 70-an itu, skuad bola sepak negara dilabel sebagai pasukan zaman emas kerana berjaya mara ke Sukan Olimpik 1972 dan 1980 selain turut mencipta sejarah mara ke Piala Asia secara merit juga pada 1980.
Selepas 43 tahun, Harimau Malaya memadamkan badi untuk mara secara merit apabila skuad negara akan membuat penampilan pada Piala Asia di Qatar awal tahun depan.
Malah, dengan sasaran untuk mencipta sejarah pertama kali ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 yang kini berada di landasan tepat, tidak mustahil untuk mengatakan kita sedang kembali bangkit menjadi pasukan yang terbaik sekurang-kurangnya di peringkat Asia.
Dalam masa sama, kita tidak boleh menyangkal kehadiran pemain naturalisasi dan warisan menjadi aspek penting dalam kebangkitan yang dipamerkan Harimau Malaya disebalik prestasi memukau ditunjukkan pemain seperti Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.
Keputusan FAM untuk menghentikan pengambilan pemain naturalisasi mungkin tepat melihatkan tiada pemain import dalam saingan Liga Malaysia yang mempunyai kualiti diharapkan selain memenuhi syarat naturalisasi tersebut.
Namun, kehadiran pemain warisan sememangnya terus ditagih FAM dan dalam satu sidang akhbar barubaru ini, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui agak sukar untuk mencari pemain warisan yang berkualiti seperti Dion Cools.
Kenyataan itu membayangkan generasi pemain Harimau Malaya ketika ini berdepan cabaran untuk mengekalkan rentak pasukan sekiranya tiada pemain berkualiti seperti Cools berjaya dikesan oleh FAM.
Justeru, pilihan yang ada sudah tentu untuk mengembleng usaha mencari pemain warisan yang berkualiti atau membentuk pemain sehebat Faisal atau Arif Aiman.
*Muhammad Zakwan Nazaraly ialah wartawan Sukan Sinar Harian