MELAKA - Sebuah gudang kilang kopi terbakar di Jalan TTC Cheng, Taman Teknologi Cheng, di sini pada malam Ahad.
Komander operasi, Penguasa Kanan Bomba ll Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.59 malam.
Menurutnya, 23 anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, BBP Melaka Tengah, BBP Ayer Keroh, dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua water tanker diatur gerak ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kebakaran sebuah kilang berkeluasan 120x60 meter persegi telah terbakar 90 peratus.
"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi dapat dikawal pada jam 11.05 malam," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, sehingga kini operasi memadam kebakaran masih diteruskan.