Liga Super: Dua pasukan Kelantan dibelasah dalam satu malam

Iklan
Pemain Kuala Lumpur City, FC Romel Oswaldo Morales Ramirez diasak pemain Kelantan United FC, Abdul Latiff Suhaimi (kanan) pada perlawanan antara Kuala Lumpur City FC menentang Kelantan United FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras pada malam Ahad. - Foto Bernama

DUA pasukan dari Kelantan dibelasah lawan masing-masing dalam aksi Liga Super malam tadi.

Kelantan FC terus dirundung malang apabila tewas 1-6 kepada Kedah Darul Aman di Kota Bharu.

Iklan
Iklan

Selepas dibelasah Sabah 0-7 minggu lalu, sekali gus menjadi pasukan pertama dibolosi lebih 100 gol semusim dalam sejarah Liga Super, tiada sebarang petanda kebangkitan mampu ditunjukkan The Red Warriors.

Dengan penguasaan penuh Hijau Kuning dalam separuh masa pertama, Ifedayo Olusegun hanya memerlukan setengah jam untuk mencatatkan hatrik, termasuk menyempurnakan dua sepakan penalti, masing-masing pada minit keenam dan 26.

Iklan

Wan Amirul Afiq Abdul Rahman turut mencatatkan nama selaku penjaring pada minit ke-29, seminit sebelum Ifedayo melakar hatrik.

Dengan Kedah mengeluarkan beberapa pemain utamanya dalam babak kedua, Kelantan akhirnya memperoleh satu gol menerusi jaringan Haziman Che Ngah pada minit ke-73.

Iklan

Bagaimanapun, Ifedayo sekali lagi menghantui pemain tuan rumah menerusi satu lagi jaringannya pada minit ke-80 sebelum Ariff Farhan Md Isa melengkapkan malam gemilang Sang Kenari pada minit ke-87.

Aksi di Cheras pula menyaksikan Kelantan United turut tumbang 0-3 kepada Kuala Lumpur City FC.

Selepas Matko Zirdum membuka jaringan pada minit ke-21, Paulo Josue dan Tchetche Kipre melebarkan kelebihan buat tuan rumah dalam babak kedua, masing-masing pada minit ke-68 dan 78. - Astro Arena