KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma 2028) patuh syariah.
Exco Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, perkara itu penting kerana Kelantan akan menjadi tuan rumah bagi temasya tersebut nanti.
"Seperti yang kita tahu ada beberapa acara agak sensitif seperti renang dan gimrama.
"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan pihak MSN negeri dan akan berbincang serta berunding dengan KBS dan MSN pusat juga bagi melihat ruang-ruang untuk memastikan acara nanti dapat patuh syariah,” katanya pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Rodzi Ja'afar (Pas-Gaal).
"Saya yakin ADUN Kota Lama sangat prihatin terhadap maruah atau penampilan atlet wanita.
"Kami akan berbincang untuk memastikan Sukma 2028 di Kelantan berlangsung patuh syariah,” ujar beliau.
Ujar Zamakhshari berkata, kerajaan Kelantan akan memanfaatkan sepenuhnya peruntukan RM276 juta oleh Persekutuan untuk membina enam fasiliti Sukma di kompleks sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh dan sebuah pusat akuatik di Madinah al-Salam di Tunjong, di sini.
"Kerajaan negeri juga memperuntukkan sejumlah RM164.35 juta untuk menampung kos pengambilan tanah, kerja-kerja awalan tanah dan penyediaan infrastruktur kompleks sukan Bukit Merbau dan pusat akuatik.
"Projek pembangunan kompleks itu adalah satu komponen utama dalam permohonan Kerajaan Kelantan melalui KBS di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi cadangan pembangunan sebuah kompleks sukan negeri,” kata beliau.
DUN Kelantan lulus usul pertahankan kuasa dewan gubal kesalahan berkaitan hukum syarak
Dalam perkembangan berasingan, DUN Kelantan pada Isnin meluluskan usul bagi mempertahankan kuasa dewan itu dalam mengubal kesalahan berkaitan hukum syarak.
Usul dikemukakan oleh ADUN Melor, Wan Rohaimi Wan Daud dipersetujui sebulat suara tanpa bahas di hadapan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Dalam ucapannya, Wan Rohaimi berkata, persetujuan 11 negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia, hasil perundingan kompleks dengan penjajah British dulu membolehkan Islam berdiri sebagai agama Persekutuan melalui Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
"Hasil kompromi ini 11 negeri-negeri berdaulat, khususnya sembilan negeri Melayu yang menjunjung takhta, kedaulatan sultan dan raja-raja menjadi tuan punya kepada agama, melahirkan kompromi kuasa dalam membentuk perlembagaan negara selain muncul dua senarai kuasa antara negeri serta Persekutuan.
"Melaluinya wujud Jadual Kesembilan yang mengandungi senarai negeri, Persekutuan dan bersama serta kompromi yang dipersetujui memboleh orang Islam melalui bidang kuasa negeri mentadbir hal-ehwal agama penganutnya berdasarkan perundangan syariah,” katanya pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, atas kefahaman dan kompromi itulah posisi undang-undang terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengiktiraf kuasa DUN dalam menggubal kesalahan-kesalahan syariah sebagaimana yang termaktub dalam senarai negeri.
"Posisi inilah yang memberikan kuasa untuk Enakmen Syariah berjalan secara serentak.
"Cuma Enakmen Syariah ini hanya terpakai kepada orang beragama Islam sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, cadangan yang termasuk sebagaimana termaktub dalam senarai negeri termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1 Negeri Kelantan 2019 iaitu Enakmen 14 itu diterima dan memenuhi syarat.
"Cadangan ini memenuhi tiga syarat iaitu mustahak, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.
"Dewan dengan ini meluluskan usul ketetapan untuk mempertahankan kuasa dewan ini dalam mengubal kesalahan berkaitan hukum syarak,” katanya.