Kumpulan curi kenderaan 'Geng Mat Mata' tumpas

Iklan
Wan Mohd Zahari menunjukan motosikal curi yangbdutemui dan dirampas susulan penahanan anggota Geng Mat Mata.

KUANTAN - Polis berjaya menumpaskan Geng Mat Mata yang aktif melakukan jenayah curi kenderaan sekitar daerah ini ekoran penahanan lima lelaki dipercayai anggota kumpulan itu, di sini Rabu lalu.

Susulan penahanan suspek berusia 22 hingga 33 tahun termasuk ketua kumpulan dikenali dengan panggilan Mat Mata itu, polis menyelesaikan lapan kes curi motosikal, dua kes curi motokar dan satu kes curi kenderaan jenis van yang dilaporkan di daerah ini sejak penghujung Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Man Busu berkata,

kelima-lima suspek merupakan penganggur ditahan secara berasingan sekitar Kuantan dan Pekan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, polis telah membuat tangkapan ke atas ketua kumpulan di perkampungan Batu 3 Jalan Kuantan - Gambang di sini.

Iklan

"Hasil pemeriksaan polis menemui dan rampas empat motosikal curi dalam milikan suspek.

Motosikal dan komponen motosikal curi dalam milikan suspek yang dirampas untuk siasatan lanjut.

"Susulan penahanan lelaki itu, pihak polis berjaya mengesan dan menahan empat lagi suspek sekitar Kuantan dan Pekan serta merampas barang bukti termasuk sebuah van, sebuah kereta dalam keadaan musnah terbakar, sebuah motosikal, enjin dan rangka motosikal," katanya pada sidang akhbar, di sini pada Isnin.

Iklan

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan mendapati ketua kumpulan itu pernah ditangkap Polis Kuantan pada Februari lalu atas kesalahan mencuri motosikal dan telah dikenakan hukuman penjara selama lapan bulan.

"Selepas seminggu melaporkan diri sebagai orang pengawasan, suspek telah melarikan diri dan kembali ke Kuantan sebelum kembali bergiat aktif melakukan jenayah itu bersama empat rakannya," katanya.

Beliau berkata, kegiatan kumpulan itu mula dikesan penghujung Oktober lalu berikutan ada laporan kes kehilangan motosikal yang diletakkan atau di parkir di dalam garaj rumah pada waktu malam

Wan Mohd Zahari (kiri) menunjukkan gambar van yang dicuri dan digunakan suspek dalam kegiatan curi motosikal.

"Dalam tempoh 14 hari, lapan laporan polis telah diterima berkaitan kejadian membabitkan kerugian kira-kira RM40,000.

"Siasatan pihak polis mendapati semua motosikal yang dilaporkan hilang berada di dalam kawasan rumah dan ada yang dilarikan bersama kunci," katanya.

Menurutnya lagi, selain melarikan motosikal yang ditinggalkan bersama kunci, suspek juga menggunakan 'allen key' yang diubah suai untuk membuka pintu dan menghidupkan kenderaan yang dicuri.

Tambah Wan Mohd Zahari, van yang dicuri digunakan suspek untuk mengangkut motosikal curi.

"Suspek turut terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta ketika dihidupkan pemilik bagi tujuan memanaskan enjin.

Gambar kereta yang dilarikan suspek yang ditemui musnah dipercayai dibakar.

"Kenderaan itu telah dilarikan sebelum ditemui dalam keadaan musnah dipercayai dibakar di Pekan," katanya.

Jelas beliau, semua suspek yang masih bujang dan tidak bekerja serta mempunyai rekod lampau berkait jenayah dan dadah kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan (curi motosikal) dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan (membantu menyembunyikan harta curi berkaitan kenderaan bermotor)," ujarnya.